Beijing: Seorang lelaki membelanjakan AS$40,000 (RM130,000) untuk menempah empat panggung wayang yang menayangkan tayangan perdana filem terbaru ‘Transformers.’
Dia berbuat demikian sebagai cara untuk membuktikan kepada bekas kekasihnya bahawa wanita itu melakukan kesilapan kerana meninggalkannya atas alasan dia miskin tujuh tahun lalu.
“Hu Xiaoyun: Saya sangat miskin ketika kita belajar di kolej pada 2007 sehingga saya tidak mampu membeli dua tiket wayang.
“Ketika kamu berlepas ke Beijing, kamu berkata saya akan kekal miskin.
“Saya bekerja keras selama tujuh tahun kerana terkenangkan ayat itu dan hari ini saya membelanjakan separuh daripada gaji bulanan untuk menempah semua tempat duduk di panggung wayang pada 27 Jun.
“Saya hanya ingin memberitahu, kamu tersilap langkah,” kata lelaki itu dalam akaunnya di Sina Weibo.
Sebagai bukti, dia turut memuat naik kontrak dengan agensi tempatan tiga resit berjumlah 250,000 yuan (RM130,000).
Lelaki itu yang hanya dikenali dengan nama keluarganya, Wang, menggunakan nama samaran dalam talian Chicken Run 1234.
Dengan menggunakan gambar profil pahlawan Na’vi dari filem Avatar, dia meminta pengguna Internet menyebarkan mesejnya agar wanita itu melihatnya.
Dia juga berjanji memberikan tiket percuma kepada mereka yang memuat naik mesej itu.
Berita itu tersebar cepat dan mesej berkenaan disebarkan semula lebih 110,000 kali semalam.
Hasilnya, lelaki berkenaan mendapat panggilan daripada bekas kekasihnya.
Mereka berdua tidak lagi bermusuhan tetapi tidak mungkin mereka menyambung kembali hubungan lama.
“Saya berjanji ketika pertama kali bertemu dengannya jika dia pergi satu hari nanti, saya akan membuat seluruh dunia tahu saya mencarinya,” katanya.
-AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/28
1 comment:
Boleh share nama fb mamat ni
Post a Comment