Pages

Friday, June 27, 2014

Budak dua tahun ketagih arak


Cheng Cheng mengalami masalah ketagihan arak pada usia hanya dua tahun. - AGENSI
BEIJING 26 Jun - China digemparkan dengan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dipercayai peminum arak termuda di dunia, menurut laman web, Mail Online.
Kanak-kanak berkenaan, Cheng Cheng dilaporkan pertama kali mengambil arak seawal umur 10 bulan dan pada usianya satu tahun, dia mampu menghabiskan sebotol bir tanpa mengalami sebarang kesan sampingan.
Ibu bapa Cheng Cheng yang berasal dari wilayah Anhui, turut dilaporkan sukar untuk memberinya susu serta minuman ringan kerana Cheng Cheng lebih menggemari minuman keras.
Hal itu menyebabkan para doktor mendesak ibu bapanya untuk mengambil tindakan segera bagi mengubah tabiatnya untuk mengelak organ dalaman kanak-kanak berkenaan daripada rosak yang mampu membahayakan nyawa.
Segalanya bermula ketika dia masih bayi dan bapanya memberinya minum setitis wain supaya dia berhenti menangis.
Ibu saudaranya, Cai Teng berkata, setiap kali keluarganya mengeluarkan botol arak, dia mendesak untuk meminum sebahagian daripadanya.
Ibunya yang bimbang tentang tindakan undang-undang yang bakal dihadapi olehnya dan suami, telah berusaha mengubah tabiat kanak-kanak itu.
Namun dia berkata, Cheng Cheng sering mencari botol minuman keras dan mereka terpaksa menyembunyikannya di tempat yang tidak diketahui kanak-kanak itu.
Tambah Teng, Cheng Cheng akan menangis ketika melihat ahli keluarganya minum arak pada musim perayaan.
"Kadang-kadang dia akan menangis dengan kuat, jadi kami tidak mempunyai pilihan selain memberinya sedikit minuman itu," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140627/lu_10/Budak-dua-tahun-ketagih-arak#ixzz35n0OJqBv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: