Pages

Wednesday, April 16, 2014

Keluarga pengamal poligami jadi perhatian ahli politik India


Chana bersama 39 isterinya yang tinggal di sebuah rumah empat tingkat yang mempunyai 100 buah bilik di Kampung Baktwang di negeri Mizoram, India. - AGENSI
NEW DELHI 15 April - Seorang pengamal poligami di India yang mempunyai 39 isteri, menarik perhatian ahli-ahli politik semasa berlangsungnya pilihan raya umum di negara ini yang bermula minggu lalu.
Ini adalah kerana, ahli keluarga Zionnghaka Chana yang ramai mampu mempengaruhi undi sesebuah parti yang bertanding kerana selain 39 isteri, lelaki itu turut mempunyai 94 orang anak dan 33 cucu.
“Kami sedang menyaksikan ahli-ahli politik yang sibuk 'memancing' undi dalam tempoh beberapa hari lalu," kata lelaki berusia 70 tahun itu yang tinggal bersama keluarganya di sebuah rumah empat tingkat yang mempunyai 100 buah bilik di Kampung Baktwang di negeri Mizoram, India.
Mail Online melaporkan Chana sebagai berkata, setiap kali musim pilihan raya, mereka sekeluarga sentiasa mendapat perhatian kerana margin kemenangan ahli politik di negeri ini amat tipis sekali gus jumlah 100 undi dari keluarganya amat bernilai buat mereka.
“Bila kami keluar mengundi, kami sentiasa mengundi untuk calon atau parti yang sama. Ini bermakna, lebih 160 undi adalah terjamin dari sebuah keluarga sahaja," katanya yang juga merupakan pemimpin agama di kawasannya.
Seperti pengundi-pengundi lain di India, Chana berkata, dia mahukan sebuah kerajaan yang bersih supaya keluarganya boleh hidup dalam keadaan makmur.
“Apa yang kami mahukan ialah sebuah kerajaan yang ditadbir dengan baik dan kesejahteraan di negeri ini dan bukannya keuntungan peribadi untuk keluarga kami dari ahli-ahli politik," katanya.
Sementara itu, pengundian di negeri Mizoram berlangsung Jumaat lalu, iaitu pada peringkat keempat daripada sembilan peringkat pengundian di India yang hanya akan berakhir pada 12 Mei depan dengan keputusan undian hanya diketahui empat hari kemudian.
Dalam perkembangan lain, tinjauan yang dijalankan oleh rangkaian berita swasta NDTV melaporkan, parti pembangkang, Parti Bharatiya Janata (BJP) dan sekutunya dijangka memenangi pilihan raya umum kali ini dengan keputusan majoriti tipis.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140416/lu_05/Keluarga-pengamal-poligami-jadi-perhatian-ahli-politik-India#ixzz2yzotGslV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: