Pages

Thursday, March 6, 2014

Remaja wanita bantu saintis kaji kanser hati





NEW YORK - Seorang remaja perempuan di Amerika Syarikat (AS) yang pulih daripada penyakit kanser hati kini membantu para saintis dalam satu kajian saintifik yang mungkin satu hari nanti menemui penawar untuk penyakit berbahaya itu, lapor portal berita perubatan Medical Daily kelmarin.
Remaja tersebut, Elana Simon, (gambar) 18, disahkan menghidap kanser hati yang jarang berlaku dalam kalangan manusia ketika berusia 12 tahun.
Dia dianggap antara individu yang bertuah kerana berjaya sembuh daripada penyakit berkenaan selepas menjalani pembedahan untuk membuang sebahagian hatinya.
Penyakit itu tiada penawar menyebabkan pembedahan merupakan satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa si pesakit.
Beberapa tahun selepas bebas daripada penyakit berkenaan, Simon menggunakan kemahirannya dalam bidang sains komputer yang dipelajari di sekolah untuk mengasingkan beribu-ribu data bagi mencari satu pembayang apa yang menyebabkan sel-sel kanser menjadi aktif.
Teknik yang digunakan remaja itu kemudiannya dibuktikan berkesan apabila dia berjaya mengasingkan satu mutasi genetik yang dipercayai menjadi punca kanser hati yang sering menyerang remaja dan orang dewasa yang masih muda.
Simon yang merupakan seorang penari dan akrobat berkata, dia tidak percaya mampu melakukan perkara itu.
Remaja itu kini yang akan belajar di Universiti Harvard di AS dalam bidang sains komputer menyertai satu kumpulan saintis yang turut disertai bapanya, Dr. Sanford Simon iaitu seorang saintis di Universiti Rockefeller.
Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh kumpulan itu pada minggu lalu, mereka berjaya menemui satu keanehan apabila satu bahan genetik yang terputus bersambung dengan gen yang lain.
Keadaan itu menyebabkan satu protein tidak normal yang terbentuk di dalam tisu kanser dan bukannya di dalam tisu hati.
Kumpulan penyelidik itu menyatakan kemungkinan itu yang menyebabkan sel kanser membesar.
Laporan itu juga menyebut mereka menjumpai kesemua keadaan itu dalam sejumlah 15 sel kanser yang mereka uji setakat ini.
Dr. Simon berkata, kajian itu masih di peringkat awal dan lebih banyak kajian diperlu dilakukan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2v8PqGMEs 
Hakcipta terpelihara 

No comments: