Pages

Monday, March 24, 2014

Kisah seorang saksi tsunami


KENANGAN hari itu pada 26 Disember 2004 masih melekat di fikiran Lestari Agus biarpun sudah sedekad musibah tsunami berlaku.
Biarpun segalanya serba baru kelihatan di Banda Aceh tempat di mana musibah tsunami paling teruk melanda, namun ingatan Lestari tidak pernah terjejas walau seinci terhadap kejadian pahit itu.
Ketika sebilangan besar daripada kita sudah terlupa ujian besar Yang Maha Esa itu, namun Lestari seorang daripada ribuan saksi hidup musibah itu akan terus bercerita tanpa rasa jemu.
Masakan tidak, semuanya jelas terbayang di hadapan matanya bagaimana ombak tinggi secara tiba-tiba melanda bumi Aceh.
Sulit benar bagi Lestari untuk mengungkapkan dengan kata-kata bagaimana tergamamnya dia melihat masjid, kereta, rumah, binatang bahkan manusia sendiri terapung-apung di depan matanya.
Bahkan, kekesalan dan kesedihan yang sarat ditanggungnya sehingga kini ialah bagaimana gagalnya dia memujuk seorang nenek tua untuk sama-sama berpindah ke tempat yang lebih tinggi ketika melihat ombak besar sudah mendekati mereka.
"Saya beserta kakak dan abang ipar sudah puas memujuk nenek itu untuk naik ke tingkat atas bersama-sama kami untuk menyelematkan diri, tetapi dia enggan berbuat demikian.
"Akhirnya kami tiada pilihan kerana kalau terus memujuk nenek itu, mungkin saya serta kakak dan abang ipar juga sudah mati kerana dibawa oleh arus deras," kata Lestari membuka kisah sedih tragedi tsunami kepada penulis ketika ditemui di Aceh baru-baru ini.
Lestari kini berusia 27 tahun dan pada 26 Disember 2004 usianya hanyalah 17 tahun yang masih berada di pengajian sekolah menengah.
Katanya, ketika kejadian dia berada di Aceh untuk menghabiskan cuti hujung tahun bersama keluarga kakaknya sedangkan adik beradik yang lain serta orang tuanya berada di Medan.
"Tsunami berlaku selepas saya dan keluarga kakak selesai sarapan. Tiba-tiba ada jeritan yang kuat daripada jiran air laut sudah naik ke darat. Ada pula yang melaungkan ombak, ombak.
"Kami yang mendengarnya terkejut. Saya keluar dari rumah untuk melihat apa yang sedang berlaku. Tiba-tiba dalam sekelip mata saya nampak orang semakin ramai berlari untuk menyelamatkan diri. Abang ipar terus mengajak kakak, saya dan anak-anaknya ke tingkas atas untuk mencari tempat berlindung," kata Lestari menyambung cerita.
Dalam sekelip mata juga ombak besar dengan arus yang deras berada di depan mata Lestari dan ketika itu, gadis itu tiada pilihan selain daripada menyerahkan diri kepada Allah SWT.
Kata Lestari, yang terbayang di matanya pada ketika itu hanyalah kematian sahaja.
"Saya, kakak dan abang ipar serta anak-anak mereka saling memegang erat antara satu sama lain dan terus berzikir tanpa henti seolah-olah sudah dekat sangat dengan kematian," kata Lestari bercerita dalam nada sebak.
Air mata sudah lama bergenang namun Lestari masih bertahan ketika bercerita bagaimana tempoh empat jam berlindung di tingkat atas kediaman mereka itu merupakan masa yang paling lama dalam hidupnya.
Selepas benar-benar yakin ombak deras itu sudah berhenti, Lestari dan keluarganya mula memberanikan diri untuk melihat keadaan di luar.
"Masya-Allah hanya Tuhan sahaja yang tahu sedih dan tergamamnya kami melihat musibah berlaku di depan mata. Namun, pada masa sama saya bersyukur kepada Allah kerana masih memberi peluang kepada saya untuk bernafas. Pada masa itu juga saya terfikir apakah ini yang dinamakan sebagai kiamat," ujar lulusan Bahasa Inggeris dari sebuah universiti tempatan ini lagi.
Menyedari sudah lama berlindung di tingkat atas itu, Lestari dan keluarganya membuat keputusan untuk mencari lokasi baru yang lebih selamat.
Ujian<
Sebaik keluar dari situ, Lestari mendapat khabar yang meminta mereka ke Masjid Baiturrahman untuk mencari ruang baru bagi menyelamatkan diri.
Ketika dalam perjalanan dari rumah ke masjid itu, sekali lagi ujian bagi keluarga ini kerana bukan hanya terpaksa mengharung banjir yang sarat dengan kereta, serpihan rumah, bangkai binatang tetapi juga mayat yang bertali arus di depan mata.
Kata Lestari, bau persekitaran pada masa itu amatlah tidak menyenangkan dan mayat-mayat yang terapung di depan mata pula sudah bertukar warna gelap.
"Ketika itu juga kami sekeluarga berasa amat lapar yang tidak terhingga. Entah bagaimana tiba-tiba saya ternampak ada plastik berisi buah-buahan di depan mata.
"Saya mengambilnya dan kami sekeluarga menghabiskan buah itu. Tidak tahu milik siapa dan kami berserah pada Allah supaya menghalalkan tindakan itu kerana kami tiada pilihan lain untuk mengisi perut," kata Lestari mengimbas kenangan sepuluh tahun lalu.
Sebaik tiba di Masjid Baiturrahmah, Lestari sekeluarga melaksanakan sujud syukur sebagai tanda kegembiraan mereka kerana dapat menyelamatkan diri.
Di sana juga sudah terdapat ribuan mangsa tsunami seperti mereka yang menjadikan masjid itu untuk berlindung sebelum di bawa ke penempatan baru oleh pihak berkuasa dalam negara dan luar negara yang mula menghulurkan bantuan.
Hari ini, kalau anda mahu mengetahui kisah lebih lanjut daripada Lestari iaitu antara saksi hidup tsunami, anda boleh berkunjung ke Muzium Tsunami di Aceh.
Lestari memilih untuk bekerja di muzium itu sebagai pemandu pelancong dan dia merupakan orang yang paling layak untuk bercerita kepada pengunjung mengenai musibah tsunami yang sangat dekat dengan dirinya.
"Banyak hal yang membuka mata saya selepas terlibat dalam tsunami. Saya seperti mati hidup semula. Inilah kenangan yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila," lembut suara Lestari berkongsi emosinya.
Satu perkara lagi, janji Lestari, tragedi tsunami akan disimpan elok dalam kotak memorinya untuk dijadikan iktibar kepada generasi akan datang.
"Saya akan terus bercerita sampai bila-bila… ya sampai ke akhir hayat saya," katanya menutup perbualan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140323/lu_07/Kisah-seorang-saksi-tsunami#ixzz2wpHDu5bq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: