Pages

Wednesday, March 12, 2014

Hiasan pelik dalam mata


Kristina Kovalevskya merupakan wanita pertama di New York melakukan pembedahan meletakkan platinum di dalam mata. - AGENSI
NEW YORK 11 Mac - Seorang wanita sanggup mengambil risiko asalkan dapat tampil menarik, apabila bertindak nekad meletakkan logam platinum di dalam matanya.
Dailymail Online melaporkan, Kristina Kovalevskya merupakan wanita pertama dari bandar raya ini, menemui Dr. Emil Chynn dari Park Avenue Laser Vision untuk memasukkan logam platinum berbentuk hati berukuran 3.5 milimeter di bahagian mata putihnya.
"Saya sukakan cabaran dan mahu objek ini berada di dalam mata saya untuk jangka masa yang lama. Namun begitu, saya ada merancang untuk menukarnya kepada bentuk lain yang lebih menarik,’’ jelasnya, sambil menambah kos keseluruhan pembedahan menelan belanja AS$3,000 (RM 9,851.82).
Menurut Dr. Chynn prosedur perhiasan mata sudah dijalankan beribu-ribu kali di Eropah dan Los Angeles, namun tidak di New York, dan Kovalevskya merupakan pelanggan pertamanya untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.
Jelasnya, proses pemasangan platinum itu dimulakan dengan menyuntik anestetik yang sering digunakan dalam dunia perubatan, sebelum membuat hirisan kecil di bahagian mata untuk membentuk ruang bagi meletakkan platinum itu.
"Selepas membuat hirisan, platinum tersebut dimasukkan dan tiada sebarang jahitan dilakukan kerana hirisan itu akan bersambung secara semulajadi dalam tempoh masa tiga hari,’’ ujarnya lagi.
Walaupun kelihatan seperti mengerikan, Dr. Chynn menegaskan bahawa kaedah pembedahan yang dicipta oleh seorang pakar mata dari Belanda pada tahun 2004 itu adalah selamat.
Bagaimanapun, Agensi Dadah dan Makanan (FDA) masih lagi belum meluluskan prosedur pembedahan berkenaan, sambil American Academy of Ophthalmology memberi amaran kepada pengguna akan bahaya yang bakal menimpa mereka jika melakukan pembedahan tersebut.
Akademi itu dalam satu kenyataan kepada rangkaian televisyen Fox 5 memberitahu, setakat ini tiada sebarang bukti kukuh yang dapat menyokong kesahihan bahawa pembedahan tersebut adalah selamat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140312/lu_06/Hiasan-pelik-dalam-mata#ixzz2vgzPWrmJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: