BEIJING 11 Mac - Kasih ibu membawa ke syurga, kasih bapa tiada penghujungnya. Ungkapan itu sesuai digambarkan terhadap pengorbanan seorang bapa di China yang sanggup berjalan kaki hampir 29 kilometer setiap hari bagi menghantar anaknya yang kurang upaya ke sekolah.
Yu Xukang, 40, dari pekan Fengyi di daerah Yibin dekat wilayah Sichuan, barat daya China, akan menggunakan bakul yang dibina khas bagi membawa anaknya, Xiao Qiang yang mengalami masalah cacat kaki dan tangan serta bengkok bahagian badannya untuk ke sekolah sejak September tahun lalu.
Malah, Xukang enggan berputus asa untuk menyekolahkan anaknya yang kini berumur 12 tahun selepas menyedari ketiadaan bas sekolah mahupun pengangkutan awam di kawasannya bukannya alasan baginya untuk memberi anaknya peluang terbaik untuk belajar.
"Saya tahu anak saya cacat dari segi fizikal, namun dia tidak mengalami masalah dengan pemikirannya. Bagaimanapun agak sukar untuk mencari sekolah berdekatan tempat ini yang mempunyai kemudahan khas bagi menerima Qiang dengan kebanyakannya menolak.
"Namun dia akhirnya diterima masuk di Sekolah Rendah Fengxi di pekan Fengyi yang letaknya lapan kilometer dengan berjalan kaki melalui kawasan laluan berbukit, katanya sebagaimana dilapor Daily Mail.
Xukang berkata, pada setiap hari, dia akan bangun sekitar pukul lima pagi bagi menyediakan makan tengah hari untuknya dan akan berjalan sejauh lapan kilometer ke sekolah dan pulang semula untuk bekerja.
Katanya yang telah sembilan tahun berpisah dengan isterinya, dia akan kembali semula ke sekolah bagi menjemput Qiang kembali ke rumah.
"Saya kini berbangga kerana Qiang merupakan antara pelajar cemerlang di sekolahnya dan saya tahu dia akan mencapai kejayaan. Adalah menjadi impian saya dia akan berjaya memasuki pengajian peringkat tinggi di kolej, katanya.
Sementara itu, selepas kisah Xukang didedahkan media tempatan, pihak berkuasa tempatan mengumumkan bahawa mereka akan mencari sebuah rumah sewa untuknya, manakala pihak sekolah akan mencari jalan untuk membuka asrama bagi menempatkan anaknya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140312/lu_07/Bapa-jalan-kaki-hantar-anak-ke-sekolah#ixzz2vgyvXlVG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment