Pages

Wednesday, March 26, 2014

Diharam guna telefon bimbit lepas 9 malam


Tokyo: Kanak-kanak di sebuah bandar di Jepun dilarang menggunakan telefon bimbit selepas jam 9 malam dalam usaha menangani masalah pembulian siber.

Jurucakap lembaga pendidikan Kariya berkata, bermula April ini, 13,000 kanak-kanak berusia antara enam dan 15 tahun di bandar itu akan terikat dengan peraturan baru itu.


Usaha ini diharapkan mampu menghalang golongan itu terjebak dalam kes pembulian siber, menghabiskan masa bertukar-tukar emel menggunakan telefon bimbit selain mengekang kesan negatif lain akibat penggunaan berlebihan aksesori itu.

Inisiatif itu hasil usaha polis, pekerja sosial dan guru. Bagaimanapun, ibu bapa tidak akan dihukum jika anak mereka tidak mematuhi peraturan berkenaan.


Ibu bapa bagaimanapun diminta mengambil semua telefon bimbit selepas jam 9 malam dan memantau penggunaan laman web anak mereka dalam kempen yang membabitkan 21 sekolah itu.


Beberapa minggu lalu, kerajaan mendedahkan statistik menunjukkan penggunaan tinggi telefon bimbit dalam kalangan kanak-kanak Jepun.

Mengikut statistik itu, kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun menghabiskan masa online 107.4 minit secara purata sehari menggunakan telefon bimbit.

Cadangan mengehadkan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan kanak-kanak Jepun pertama kali dibuat pada 2008 berikutan masalah pembulian siber kini dihadapi kanak-kanak dan ibu bapa di seluruh dunia. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

No comments: