Pages

Sunday, February 9, 2014

Robot trafik kawal lalu lintas di Congo


Salah sebuah robot trafik yang mengambil alih tugas polis trafik mengawal lalu lintas di wilayah Kinshasa, Congo. - AGENSI
KINSHASA 8 Feb. - Dua robot trafik mengambil alih tugas mengawal lalu lintas di persimpangan Boulevard Triomphal dan Huileries Avenue dalam wilayah Kinshasa, Congo, menurut laman web, Odditycentral, semalam.
Dilaporkan, kehadiran robot tersebut mendapat reaksi positif daripada pengguna jalan raya.
Menurut, seorang penduduk, Demouto Motumbo, dia berasa senang melihat teknologi yang digunakan itu.
"Apabila pegawai polis mengawal lalu lintas, keadaan masih tidak terkawal, namun begitu, sejak robot ini digunakan, pengguna jalan raya dilihat lebih menghormati undang-undang," katanya.
Robot setinggi 2.4 meter itu diperbuat daripada logam aluminium tahan karat bagi memastikan keadaan fizikal robot itu dilindungi daripada keadaan cuaca dan digerakkan menggunakan tenaga solar.
Beberapa kamera dipasang bagi merekod perjalanan trafik dan mendapatkan maklumat sebelum dianalisis dalam sistem komputer yang dipasang dalam robot berkenaan.
Jurutera, Isaie Therese yang mencipta robot tersebut berkata, sekiranya pengguna lalu lintas tidak mematuhi undang-undang, robot berkenaan akan merekod tindakan mereka itu dan surat saman akan dihantar kepada pesalah kemudian.
"Ini merupakan langkah kerajaan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di negara ini," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140209/lu_06/Robot-trafik-kawal-lalu-lintas-di-Congo#ixzz2smDxDHJq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: