Pages

Monday, January 6, 2014

Gunung Sinabung meletus lagi



PENDUDUK kampung di luar zon bencana melihat letusan Sinabung pada Rabu lalu. - AFP


KARO - Pihak berkuasa Indonesia meluaskan zon bahaya di sekitar sebuah gunung berapi yang meletus di barat Indonesia semalam selepas gunung berkenaan menghamburkan gas lebih jauh daripada jangkaan sebelum ini.
Letusan Gunung Sinabung sejurus selepas tengah malam itu mencetuskan perpindahan mengejut penduduk di sekitarnya.
Sejumlah lelaki dilihat memecut motosikal mereka dari kaki gunung itu dengan diikuti beberapa buah trak yang membawa wanita dan kanak-kanak.
Beberapa pegawai menjerit memberi amaran tentang bahaya batu dan serpihan gunung berapi itu yang jatuh seperti air hujan.
Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata, lebih 50 letusan Gunung Sinabung yang terletak di Sumatera Utara itu direkodkan sejak kelmarin.
Gunung berapi itu turut mengalirkan lahar sejauh 5 kilometer (km) di bahagian tenggara lerengnya.
"Sinabung memuntahkan awan gas dan lahar setinggi 4,000 meter dalam beberapa letusan semalam tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan," kata Sutopo.
Menurutnya, zon bahaya di tenggara Sinabung ditambah daripada 5km menjadi tujuh km dari kawah gunung berapi berkenaan.
Sejumlah anggota tentera menyertai operasi menyelamat di kampung Jewara dan Pintu Bedsi yang terletak sekitar 7km dari kawah gunung berkenaan.
Lebih 20,000 orang telah dipindahkan dari perkampungan di sekitar gunung berapi berkenaan sejak pihak berkuasa meningkatkan amaran letusan Sinabung pada tahap tertinggi November tahun lalu.
Gunung berapi setinggi 2,600 meter itu telah beberapa kali meletus sejak September 2013. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2pYwGehnK 
Hakcipta terpelihara 

No comments: