Pages

Thursday, November 14, 2013

WTC menara tertinggi Amerika


Imej grafik menunjukkan Pusat Dagangan Dunia (WTC) baharu yang bakal menjadi pencakar langit tertinggi di Amerika Syarikat apabila siap pada awal tahun depan. - Agensi
NEW YORK 13 Nov. - Pusat Dagangan Dunia (WTC) baharu yang dibina di tapak runtuhan menara berkembar dalam kejadian 11 September 2001, di sini, diumumkan sebagai bangunan pencakar langit tertinggi di Amerika Syarikat (AS) sebaik-baik ia siap dibina, sekali gus mengenepikan Sea Towers di Chicago.
Arkitek di Majlis Bangunan-Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar (CTBUH) bersetuju bahawa antena berukuran 124.4 meter pada bangunan itu merupakan senibina tetap dan perlu dikira dalam menentukan ketinggiannya.
"Reka bentuk WTC itu sebagaimana diterangkan kepada kami, mengukuhkan peranannya sebagai simbol kebangkitan semula di tapak yang penting ini.
"Secara khususnya, puncak menara yang menempatkan lampu keselamatan, memancarkan simbolik ketinggian bangunan setinggi 1,776 kaki atau 541.3 meter itu,'' kata Pengarah Eksekutif CTBUH, Antony Wood.
Menurut CTBUH, ukuran ketinggian WTC yang mengambil kira tahun kemerdekaan AS dipilih bagi menegaskan prinsip-prinsip di sebalik penubuhan negara dalam menghadapi serangan yang memusnahkan bangunan asalnya sebelum ini.
Pencakar langit baharu itu dibangunkan di tapak asal WTC yang menjadi ikon menara berkembar sebelum runtuh dalam kejadian pada 2001 yang mengorbankan hampir 3,000 nyawa.
Tanpa antena itu, WTC hanya berketinggian 417 meter, lebih rendah berbanding Sears Tower di Chicago yang kini dinamakan sebagai Willis Tower dengan ketinggian 442 meter.
Setelah siap awal tahun depan, WTC baharu New York akan muncul sebagai bangunan ketiga tertinggi di dunia selepas bangunan pencakar langit Burj Khalifa di Dubai dan Menara Jam Diraja Mekah. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131114/lu_11/WTC-menara-tertinggi-Amerika#ixzz2kb9rTj4l
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: