Pages

Monday, June 17, 2013

AS minta puluhan ribu data Facebook, Microsoft

GAMBAR pada 12 Jun lalu menunjukkan pusat simpanan data Facebook dekat bandar Lulea, Sweden.


WASHINGTON - Gergasi internet Facebook dan Microsoft mengaku pihaknya menerima beribu-ribu permintaan data pengguna daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu.
Namun, kedua-dua syarikat itu menyatakan yang mereka dilarang daripada mendedahkan bilangan permintaan maklumat berkaitan isu keselamatan negara.
Pendedahan oleh Facebook dan Microsoft itu berlaku selepas kedua-dua firma berkenaan dikritik berhubung isu hak privasi pengguna internet.
Ia susulan pendedahan oleh seorang pakar teknologi maklumat, Edward Snowden, 29, mengenai program pengintipan e-mel dan akaun pengguna internet oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan baru-baru ini.
Menurut Facebook, pihaknya menerima antara 9,000 hingga 10,000 permintaan untuk data pengguna merangkumi 18,000 hingga 19,000 akaun sepanjang enam bulan terakhir pada tahun lalu.
Sementara itu, Microsoft pula menyatakan, ia diminta mendedahkan antara 6,000 hingga 7,000 data melibatkan 31,000 hingga 32,000 akaun untuk tempoh sama.
Permintaan tersebut termasuk waran jenayah, perintah mahkamah dan perintah-perintah lain.
Namun, bilangan itu tidak termasuk permintaan data berhubung soal keselamatan dan siasatan mengenai suspek pengganas.
Bercakap tentang pendedahan tersebut, ketua penasihat undang-undang Facebook, Ted Ullyot berkata, pihaknya bertindak secara 'agresif' bagi melindungi privasi lebih satu bilion ahlinya.
"Kami kerap menolak mentah-mentah permintaan sebegitu atau meminta pihak berkuasa AS mengurangkannya atau kami memberikan data kurang daripada yang diminta," kata Ullyot.
"Kami bertindak hanya untuk memenuhi keperluan undang-undang," tambahnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2WQ0fWiWd 
Hakcipta terpelihara 

No comments: