Pages

Wednesday, December 18, 2013

Rusia pindahkan Iskander


Gambar tidak bertarikh menunjukkan peluru berpandu Iskander dipamerkan semasa satu pameran ketenteraan di bandar Nizhny Tagil, kira-kira 25 kilometer dari sempadan antara Eropah dan Asia di Rusia. - AFP
MOSCOW 17 Dis. - Rusia semalam memindahkan beberapa peluru berpandu Iskander miliknya berdekatan sempadan Eropah sebagai reaksi kepada penempatan perisai pertahanan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang diketuai Amerika Syarikat (AS).
Peluru berpandu yang mampu mencapai jarak 500 kilometer itu, berupaya memusnahkan radar di darat serta kapal terbang pemintas perisai pertahanan NATO-AS dan penempatannya menimbulkan kegusaran AS dan negara-negara jiran seperti Poland.
“Kami mendesak Rusia supaya tidak cuba mengganggu kestabilan wilayah ini,’’ kata pembantu jurucakap Jabatan Negara AS, Marie Harf.
Beliau menambah, AS telah menyuarakan kebimbangan negara-negara terdekat kepada Moscow semalam.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Poland menyifatkan pemindahan peluru berpandu Rusia itu ‘mengganggu ketenteraman’.
“Hal ini memerlukan perhatian dan kita harap rundingan serta tindakan susulan NATO dan Kesatuan Eropah (EU) dapat dilakukan,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Latvia, Artis Pabriks berkata kepada Baltic News Service (BNS), tindakan Rusia itu jelas menimbulkan kerisauan kerana melibatkan perubahan kestabilan kuasa di rantau tersebut.
Beliau menambah, beberapa bandar di perairan Baltik turut terancam ekoran tindakan Rusia itu.
Terdahulu, akhbar Jerman, Bild melaporkan, Rusia telah mengatur kedudukan 10 sistem Iskander dalam kawasan Kaliningrad yang terletak antara Poland dan Lithuania pada tahun lalu.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Igor Konashenkov berkata, sistem peluru berpandu Iskander telah ditempatkan di daerah barat berdekatan tiga negara Baltik yang pernah menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet.
“Sistem peluru berpandu Iskander kini dikendalikan sepenuhnya oleh angkatan tentera daerah barat tersebut,’’ katanya.
Beliau menambah, penempatan tersebut tidak menyalahi sebarang perjanjian atau persetujuan antarabangsa dan tidak tertakluk kepada bantahan dari Barat. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131218/lu_11/Rusia-pindahkan-Iskander#ixzz2nnX37KQN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: