Pages

Sunday, December 29, 2013

Luruh macam ular salin kulit


London: Kulit seorang kanak-kanak luruh seperti ular akibat kesan sampingan teruk terhadap ubat sawan.

Oakley Orange, tujuh tahun, diberi ubat selepas didiagnos menghidap epilepsi, namun mula mengalami sakit kepala, selsema dan ruam 12 hari kemudian.


Badannya kemudian berbisul dan melepuh sebelum rambut dan kukunya mula luruh sehingga dia nampak seperti mangsa lecur. Dia kini langsung tidak berkulit selain mengalami kerosakan organ dalaman, dan doktor menganggarkan Oakley mempunyai peluang 65% untuk pulih.

Keadaan dialami mangsa dikenali sebagai Sindrom Stevens Johnson (SJS) iaitu sel kulit mati sebelum tanggal seperti kulit ular. Ibunya Lorraine, 45, berkata, kejadian itu bagaikan mimpi ngeri baginya dan suami, Steven, 43.


“Tidak siapa mahu melihat anak menderita sebegini.


“Oakley kanak-kanak riang yang suka bermain Xbox, basikal atau skuter.
Foto
OAKLEY ketika sihat.
Foto
OAKLEY dibalut dari kepala hingga kakinya akibat kulitnya luruh dan diberi ubat bius.


“Semua orang menyayanginya walaupun baru pertama kali berjumpa.


“Namun kini dia tidak mampu membuka mata sekalipun.



“Setiap hari ada saja cabaran baru, kami tidak tahu apa yang akan berlaku dan hanya mampu mengharungi setiap jam dengan doa.


“Semua organ utamanya terjejas. Selepas satu diserang dan dirawat, ada pula organ lain terkena jangkitan.


Oakley mengalami sawan bulan lalu dan diberi ubat. Menurut Lorraine, bungkusan ubat menyatakan ia boleh menyebabkan ruam.


Bagaimanapun, Oakley jatuh sakit di sekolahnya pada 3 Disember lalu sebelum dadanya dipenuhi ruam dua hari kemudian.


Doktor menyangka Oakley dijangkiti virus atau demam campak sebelum seorang pakar dermatologi akhirnya mengenal pasti penyakit luar biasa itu.


Badannya dipenuhi bisul sebesar bola golf sebelum melepuh dan bahagian luar kulitnya terus luruh.


Sejak itu, Oakley dibalut dari kepala hingga kakinya selain diberi ubat tahan sakit dan dibius untuk mengurangkan seksanya.


SJS dialami Oakley merupakan yang paling ekstrem sehingga organ dalamannya turut bengkak menyebabkan dia terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.


Bagaimanapun, Oakley turut mendapat bantuan kewangan daripada semua pihak termasuk keluarga, rakan malah orang tidak dikenali yang setakat ini menyumbang £3,000 (RM16,249) untuk meringankan beban ibu bapanya.


Selebriti seperti penyanyi Peter Andre dan pelumba motosikal Shane Byrne turut menghulurkan sumbangan.


“Saya tak sangka begitu ramai prihatin membantu kami,” kata Lorraine. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

No comments: