Pages

Monday, November 25, 2013

Pelancongan angkasa lepas tawar pengalaman menarik


SS2 menjalani ujian menggunakan enjin roket buat pertama kali pada April lalu. - AGENSI
BIARPUN selepas empat tahun diperkenalkan tanpa membuat sebarang penerbangan rasmi seperti yang diharapkan, keinginan orang ramai untuk muncul sebagai antara yang terawal menaiki pesawat pelancongan angkasa lepas komersial pertama, SpaceShipTwo (SS2), nyata amat memberangsangkan.
Hal ini kerana, sebanyak 650 tempahan telah diterima syarikat penerbangan Virgin Galactic setakat ini berbanding hanya kira-kira 300 orang pada 2009.
Walaupun harga tiket untuk menaiki pesawat kembar tiga yang mempunyai saiz menyamai sebuah jet perniagaan itu meningkat kepada AS$250,000 (RM802,807) berbanding hanya AS$200,000 (RM642,246) sebelum ini, nyata keinginan orang ramai termasuk barisan selebriti terkenal untuk menaiki pesawat futuristik berkenaan tidak dapat disekat lagi.
Penyanyi pop Hollywood, Rihanna dilapor membelanjakan sebanyak AS$750,000 (RM2.3 juta) untuk menyertai misi penerbangan angkasa lepas Virgin Galactic itu yang dimiliki hartawan terkenal, Richard Branson.
Antara selebriti dan tokoh terkenal yang bakal turut serta dalam penerbangan bersama SS2 yang mampu memuatkan enam penumpang adalah Stephen Hawking, Tom Hanks, Ashton Kutcher, Katy Perry, Brad Pitt dan Angelina Jolie.
Harga tiket yang mahal bukanlah halangan bagi mereka yang ingin merasai pengalaman berada di paras melebihi ketinggian 100 kilometer atau dikenali sebagai garisan Karman iaitu sempadan antara ruang udara bumi dengan angkasa lepas.
Apa yang penting ialah, kepuasan untuk menikmati pakej yang ditawarkan syarikat itu iaitu berada selama dua jam setengah termasuk lima minit pengalaman graviti kosong dan peluang melihat lengkungan planet Bumi melalui tingkap luas pesawat.
Selain itu, pengalaman untuk merasai saat SS2 dilancarkan daripada pesawat induk, WhiteKnightTwo dan berlepas pada kelajuan roket, pasti mendatangkan keterujaan kepada penumpangnya.
Malah, penyanyi terkenal, Lady Gaga dikhabarkan juga bakal menyanyi di angkasa lepas pada 2015 dan artis itu kini sedang giat menjalani latihan vokal.
Keterujaan orang ramai sama ada untuk menaiki atau melihat kejayaan SS2 dijangka bakal berakhir selepas Ketua Pegawai Eksekutif Virgin Galactic, George T. Whitesides membayangkan kesediaan syarikat itu untuk memulakan operasi pesawat tersebut secara komersial bermula tahun depan.
Syarikat itu telah mengadakan beberapa siri ujian termasuk pada September lalu apabila SS2 berjaya melakukan ujian menggunakan 'kuasa roket' yang membantu pesawat mencecah ketinggian 21 kilometer pada kelajuan Mach 1.43 dalam tempoh 20 saat.
Selain itu difahamkan, ujian yang akan dilaksanakan pada bulan depan bakal menjadi kayu ukur kepada kepada kemampuan SS2 untuk mula beroperasi pada tahun hadapan dari Gurun Mojave di California.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131125/lu_05/Pelancongan-angkasa-lepas-tawar-pengalaman-menarik#ixzz2leAKyRC9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: