Pages

Saturday, November 30, 2013

‘Bandar terapung’ bakal dibina


Kapal persiaran Freedom Ship yang dilengkapi pusat beli-belah, galeri kesenian, taman akuarium dan lapangan terbang persendirian, bakal mendapat jolokan ‘bandar terapung’. - AGENSI
FLORIDA 29 Nov. - Kebiasaannya, kapal persiaran mewah hanya belayar ke sesetengah destinasi yang ditetapkan untuk membawa pelancong.
Namun, keadaan itu mungkin sedikit berlainan apabila para pelancong kini bakal belayar ke seluruh dunia dengan hanya menaiki satu kapal persiaran sahaja.
Freedom Ship atau Kapal Kebebasan bakal merealisasikan impian para pelancong yang menginginkan percutian serba lengkap dan mewah.
Selain menjadi satu-satunya kapal persiaran yang akan belayar ke serata dunia, Kapal Kebebasan juga mendapat jolokan ‘bandar terapung’ pertama di dunia.
Hal ini kerana, kapal tersebut akan menempatkan pusat beli-belah, tempat meletak kereta, kasino, galeri kesenian, taman akuarium dan lapangan terbang persendirian.
Pengarah dan juga Naib Presiden syarikat perkapalan Freedom Ship International, Roger M Gooch berkata, kapal itu menjadi kapal persiaran terbesar yang akan dibina.
“Syarikat kami menganggarkan dana sebanyak AS$6 bilion (RM19.2 bilion) diperlukan untuk membina kapal tersebut.
“Sejak enam bulan lalu, syarikat semakin yakin dengan projek tersebut dan kami berharap dana sebanyak AS$1 bilion (RM3.2 bilion) dapat diperolehi bagi memulakan kerja-kerja pembinaan," katanya.
Gooch juga menyatakan bahawa Kapal Kebebasan itu akan menghabiskan kira-kira 70 peratus masanya belayar ke bandar-bandar utama di seluruh dunia dan selebihnya belayar di antara negara termasuk Afrika, Australia, Eropah, Asia Barat, Amerika Utara dan Amerika Selatan.
Kapal yang boleh memuatkan kira-kira 50,000 penumpang dalam satu-satu masa itu akan dibina setinggi 25 tingkat dan dijana dengan tenaga solar serta kuasa ombak. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131130/lu_13/Bandar-terapung-bakal-dibina#ixzz2m6Zwap00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: