Pages

Saturday, August 24, 2013

Makhluk misteri terdampar di pantai


Bangkai makhluk misteri yang terdampar di pantai Villaricos, mengundang tanda tanya pakar haiwan tentang spesies sebenar haiwan itu. - AGENSI
VILLARICOS, Sepanyol 23 Ogos - Satu bangkai makhluk laut misteri yang bertanduk dengan saiz empat meter panjang, ditemui terdampar di kawasan pantai Villaricos di sini, sekali gus mengejutkan penduduk sekitar bandar berkenaan.
Menurut laporan Huffington Post, bangkai makhluk tanpa kepala berbadan panjang dan berwarna putih itu dijumpai seorang perenang.
Ketika ditemui, ia sudah berbau busuk serta hampir mereput.
Huffington Post melaporkan bahawa haiwan misteri itu mempunyai badan yang licin, dengan kepalanya terpisah daripada badan ketika dijumpai.
Kajian sedang dijalankan untuk mengetahui apakah sebenarnya makhluk tersebut.
"Kami masih tidak tahu apakah benda itu, tetapi baunya sangat busuk kerana keseluruhan badannya sudah mereput.
"Seorang perenang wanita menjumpai kepala haiwan itu dan kami membantu untuk mencari bahagian badannya,'' kata Penyelaras Perlindungan Awam, Maria Sanchez kepada Digital Spy.
Disebabkan keadaan mahkluk misteri itu yang hampir mereput, Sanchez berkata, bangkai tersebut telah ditanam.
Beberapa pakar haiwan berkata, makhluk itu mungkin datang daripada spesis ikan yu atau ikan hering, bagaimanapun penyelidik masih mengkajinya.
"Agak sukar untuk mengetahui apakah makhluk misteri itu, mungkin sejenis ikan gergasi.
"Untuk mengetahui spesiesnya, kita boleh mengkaji tulang mahkluk tersebut, tetapi kos yang diperlukan untuk menjalankan kajian saintifik agak mahal," kata jurucakap Program en Defensa de la Fauna Marina (PROMAR), Paco Toledano. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130824/lu_05/Makhluk-misteri-terdampar-di-pantai#ixzz2cqDgNsEY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: