Rakyat Jerman
Rakyat Jerman protes tembok dilabel Galeri Blok Timur dimusnahkan.
Tembok Berlin yang dibina semata-mata memisahkan Jerman Barat dan Jerman Timur mungkin kini semakin bersisa hasil pembangunan walaupun pembinaannya pada awal 60-an dulu mencetuskan pelbagai insiden termasuk kematian dan penindasan rakyat Jerman.

Awal Mac lalu. sekumpulan buruh yang dibantu polis Jerman bertindak merobohkan sebahagian Tembok Berlin iaitu Galeri Blok Timur bagi membuka laluan kepada projek pembinaan bangunan sekali gus diselar penduduk yang menganggap ia tindakan menghapuskan sejarah negara.

Susulan tindakan membuka laluan itu, sekumpulan besar penduduk Jerman Timur berhimpun dan mengadakan beberapa siri protes bagi menghalang ia dirobohkan.

Jurucakap polis, Alexander Tonnies berkata, kira-kira 1.2 meter tembok berkenaan dirobohkan untuk memudahkan pihak pemaju membina sebuah pangsapuri mewah di sepanjang sungai Spree.

Galeri Blok Timur ialah bahagian Tembok Berlin bersempadan dengan sungai Spree, dihiasi dengan lukisan menarik di sepanjang 1.3 kilometer (km) dan dilabelkan sebagai tugu kebebasan antarabangsa.

Tembok Berlin yang dianggap amat menakutkan di kalangan penduduk Jerman awal 60-an lalu, kini menjadi berubah wajah selepas ia dihiasi dengan pelbagai jenis seni lukisan berwarna-warni sekali gus menjadi sebahagian tarikan utama pelancongan negara.

Ketua pereka lukisan Galeri Blok Timur, Kani Alavi berkata: "Saya amat terkejut apabila mengetahui mereka ingin merobohkan tembok bersejarah ini. Malah kumpulan pemusnah ini datang pada waktu subuh seperti sedang menyembunyikan perbuatan mereka daripada umum.

"Mereka seolah-olah hanya menginginkan keuntungan dan tidak mahu memahami serta mendalami sejarah dan seni pada tembok ini," katanya.

Gesa Alavi, jiwa kota Berlin akan musnah walaupun seinci bahagian Tembok Berlin itu dimusnahkan.
Sementara itu, wakil pemaju Maik Uwe Hinkel berkata, pihaknya tidak merobohkan tembok bersejarah itu sebaliknya hanya mengalihkan sebahagian binaan tembok buat sementara waktu bagi memudahkan jentera berat memasuki tapak pembinaan di seberang tembok.

Kata Hinkel, pihaknya sudah tidak dapat menahan kesabaran selepas perbincangan bagi mendapatkan kebenaran memindahkan sebahagian Galeri Blok Timur berlarutan selama empat minggu.

"Kami sudah tidak sanggup menanggung kerugian jika kerja-kerja membina bangunan kediaman mewah itu sering ditangguhkan," kata Hinkel.


Sejarah Tembok Berlin

Tembok Berlin adalah konkrit pemisah yang dibina Republik Demokratik Jerman (GDR, Jerman Timur) pada 13 Ogos 1961, untuk memisahkan tanah di Jerman Barat daripada Jerman Timur selepas Perang Dunia II.

Pemimpin Jerman Timur, Walter Ulbricht mengarahkan Tembok Berlin dibina dan ia diluluskan oleh pemimpin Rusia iaitu, Nikita Khrushchev.

Ia menjadi simbol kepada Perang Dingin, tirai besi dan garisan sempadan antara Jerman Timur dan Jerman Barat selama 28 tahun sebelum dibuka semula pada 9 November 1989.

Tujuan dibina bagi menghentikan penghijrahan besar-besaran tenaga kerja muda dan produktif Jerman Timur ke Jerman Barat.

Penghijrahan golongan profesional dari 1949 hingga 1961 setiap hari dinamakan 'Grenzgeger'. Golongan profesional ini membantu pembinaan semula Eropah Barat sebagaimana Plan Marshall.

Ramai golongan profesional dan pekerja mahir berhijrah dan ini meninggalkan kesan ekonomi yang teruk kepada Jerman Timur.

Seramai 2.5 juta orang berhijrah sepanjang tempoh 1949 dan 1962. Kemudian berkurangan kepada 5,000 orang dalam tempoh 1962 hingga 1989.
Sementara itu hampir 200 orang mati ditembak ketika memanjat tembok ini. Ramai lagi yang cedera, ada yang terjun dari bangunan di tepi tembok dan ada yang sanggup membina pesawat kecil dan mendarat di Berlin Barat.

Selepas Jerman kalah dalam Perang Dunia II, negara itu terbahagi kepada 4 zon iaitu Berlin yang diduduki pihak Bersekutu dan terpecah pula kepada beberapa zon penjajah yang dikuasai Perancis, Britain dan Amerika Syarikat.
Wilayah dikuasai tiga negara itu kemudian dibentuk sebagai Republik Persekutuan Jerman (Jerman Barat) pada 1949. Sementara zon yang dikuasai Kesatuan Soviet digelar sebagai Republik Demokratik Jerman (Jerman Timur) pada tahun sama.

Jerman Barat juga amat terkenal dengan kekayaannya sehingga melangkaui kekayaan negara Eropah lain berbanding penduduk dalam Jerman Timur yang masih bergelumang dengan perjuangan kebebasan berpolitik dan pertumbuhan ekonomi.


Trivia

-1961 mula dibina.
-1962 hingga 1965 ditambah pagar kawat.
-1965 hingga 1975 dibina tembok batu.
-1975 hingga 1989 terbinanya Tembok Sempadan 75.
- Keseluruhan Tembok Berlin setinggi 3.6 meter dan 1.2 meter lebar.
- Dilengkapi 116 menara tinjau dan 20 lubang pasir.
- Menyamai fungsi Tembok Besar China.
- 1989 pintu tembok dibuka kepada penduduk Jerman Timur dan Jerman Barat.
- Sebahagian binaan Tembok Berlin dirobohkan susulan keputusan menyatukan dua wilayah itu tanggal 3 Oktober 1990.
- 9 November 2009, rakyat Jerman menyambut ulang tahun ke-20 kejatuhan zaman Tembok Berlin iaitu Festival Kebebasan.