Pages

Tuesday, April 23, 2013

Drebar bas kesal menang loteri

Foto
NOAKES bersama isterinya, Jean.
Foto
SEJURUS selepas memenangi loteri, Noakes dan rakanya meraikan kemenangan mereka pada Mac tahun lalu.


London: Di sebalik ‘tuah’ kerana memenangi loteri bernilai puluhan juta ringgit, seorang bekas pemandu bas mengakui, kadang-kadang dia berharap kemenangan itu tidak pernah berlaku dalam hidupnya.

Sebelum ini, John Noakes berkongsi dengan 11 lagi pemandu bas membeli loteri dan mereka disahkan memenangi hadiah bernilai £38 juta (RM176.5 juta) Kata lelaki berasal dari Corby itu, pada awalnya dia menyangka kemenangan itu akan membolehkan segala impiannya tercapai. Namun, Noakes, 50, berkata selain kegembiraan, wang loteri itu datang bersama pelbagai bala.


“Sebab itu sesekali saya berharap saya tidak memenangi loteri berkenaan,” katanya. Bekas Pemandu Bas Terbaik itu berkata, setiap daripada mereka yang berkongsi membeli loteri itu memperoleh kira-kira £3 juta (RM13.9 juta) seorang.

Sejak memenangi loteri itu, kata Noakes, mereka mula didatangi pelbagai masalah, daripada isu keluarga sehingga membabitkan aspek kesihatan.


Noakes kini masih menetap di rumah lamanya bersama isteri, Jean, di bandar Northamptonshire.


Kata Noakes, masalah itu memaksa sebahagian daripada rakannya berpindah dari Northamptonshire.


“Malah, dua daripada kami terpaksa meninggalkan Britain.


“Saya dan Jean pula sedang bersiap-siap memulakan hidup baru di Cyprus,” katanya.

Sejak menjadi jutawan, kata Noakes, hidup mereka berubah sama sekali, tetapi tidak semuanya membawa kebaikan. Noakes sendiri mula menjadi perokok baru-baru ini akibat dilanda kemurungan. “Walaupun saya gembira memenangi wang yang banyak, perubahan daripada hidup susah menjadi kaya-raya sebenarnya mencabar,” katanya. Antara kesulitan yang dialaminya, dia terpaksa meneliti segala wang yang dibelanjakan bagi memastikan ia bertahan.


“Kebanyakan rakan saya juga enggan bersahabat dengan saya lagi,” katanya. Noakes turut selalu didatangi orang tidak dikenali dan meminta wang di jalanan.


Majikan Noakes juga menolak tawarannya untuk membantu syarikat pengangkutan itu secara percuma ketika London menjadi tuan rumah Sukan Olimpik tahun lalu.


Satu lagi cabaran Noakes ialah untuk berlaku adil kepada semua anggota keluarga tanpa menyebabkan sesiapa kecewa.


Justeru, katanya, dia dan Jean bercadang berpindah ke Cyprus.


Kata Noakes, sejak memenangi loteri itu, dia berhenti kerja tetapi menafikan hidup mereka berubah.


“Kami masih berbelanja di kedai sama, menggunakan kereta terpakai dan tetap cuba tawar-menawar ketika membeli pakaian,” katanya ketika ditemui, semalam. Seorang rakan Noakes yang memenangi loteri itu kini berpindah ke Sepanyol bagi mengelak berdepan perselisihan faham sesama keluarga. - Daily Mail

No comments: