Pages

Tuesday, February 19, 2013

Saintis rancang pasang tangan bionik



saintis Itali merancang memasang tangan bionik yang mampu merasa sentuhan kepada seorang pesakit di Rom tidak lama lagi. - Agensi
LONDON 18 Feb. - Sepasukan saintis dari Itali merancang untuk memasang tangan bionik pertama yang memiliki deria sentuh kepada seorang pesakit bagi membolehkan penerimanya merasa sentuhan.
Sebelum ini, saintis berjaya memasang tangan palsu yang hanya mampu menerima arahan daripada otak untuk melakukan pergerakan, namun ia tidak memberi rasa sentuhan.
Pasukan yang diketuai Dr. Silvestro Micera dari Ecole Polytechnique Federale de Lausanne berkata, tangan baharu itu akan dipasang terus kepada sistem saraf melalui elektrod yang dikepit pada dua saraf utama lengan bagi mengembalikan deria sentuhan di kawasan yang telah dipotong.
Jelasnya, pemasangan terus pada sistem saraf utama membolehkan ia dikawal terus oleh penerima lengan tersebut.
"Elektrod akan membenarkan penerima mengawal tangan menggunakan apa yang difikirkan mereka dan juga menghantar arahan kepada otak," katanya.
Kumpulan itu berharap rekaan baharu itu membuka jalan bagi penghasilan anggota tangan atau kaki yang menyamai bahagian tubuh bagi memberi rasa sentuhan dan meningkatkan ketangkasan anggota palsu itu.
Kajian sebelum ini menunjukkan separuh daripada individu yang menjalani pembedahan membuang tangan atau kaki tidak menggunakan anggota gantian palsu kerana merasa tidak selesa.
"Tangan baharu ini menjadi harapan buat mereka yang menjalani pembedahan membuang anggota tangan atau kaki. Ia jelas menunjukkan melalui rasa sentuhan, penerima akan merasa lebih selesa untuk menerima anggota palsu ini," katanya.
Pada 2009, satu model tangan dengan deria rasa pernah dipasang buat sementara kepada seorang pesakit melalui elektrod pada sistem saraf.
Pesakit itu dikatakan mampu menggerakkan jari, menggenggam dan memegang objek dan berkata dia boleh merasa apabila jarum disuntik ke lengan itu.
Model baharu ini akan memberi rasa sentuhan bagi kesemua bahagian jari termasuk ibu jari, tapak tangan dan pergelangan tangan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130219/lu_03/Saintis-rancang-pasang-tangan-bionik#ixzz2LKJqiNfZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: