Pages

Sunday, February 10, 2013

Buffalino untuk kegunaan pengembara



Rekaan van mini beroda tiga, Buffalino yang mampu memberikan banyak kelebihan semasa pengembaraan, selain menjimatkan penggunaan minyak. - AGENSI
BERLIN 8 Feb. - Pengembaraan jarak jauh mungkin membebankan anda untuk membawa beg yang berat, terpaksa menyewa di hotel yang kurang selesa dan makan di restoran yang kurang memuaskan.
Namun, masalah tersebut akan dapat diatasi dengan ciptaan terbaharu pereka industri Jerman, Cornelius Cormanns yang tampil dengan rekaan mini van beroda tiga, Buffalino yang menyerupai beca tuk-tuk di Asia dan Afrika.
Menurut Cormanns, mini van berkenaan diubah suai daripada motosikal model Piaggio untuk memenuhi cita rasa seorang pengembara.
Katanya, Buffalino mampu memberikan banyak kelebihan semasa pengembaraan, selain daripada menjimatkan penggunaan minyak.
Jelasnya, pengguna boleh menjadikan van itu sebagai tempat tidur melalui pengubahsuaian yang dibuat, sekali gus dapat menjimatkan kos sewa hotel.
"Selain itu, Buffalino mempunyai ruang masak untuk pengembara menjimatkan belanja makan di restoran.
"Mini van ini dilengkapi dapur, peti sejuk, tempat tidur dan ruang simpanan air untuk memudahkan pengembara bergerak bebas tanpa perlu memikirkan soal kos yang tinggi," katanya.
Cormanns masih menunggu tawaran daripada syarikat automotif yang berminat untuk mengeluarkan kenderaan berkenaan dan jika projek tersebut dilaksanakan, Buffalino dijangka dijual di pasaran Eropah dan Amerika Syarikat. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130209/lu_07/Buffalino-untuk-kegunaan-pengembara#ixzz2KPzNSDN2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: