Pages

Tuesday, February 12, 2013

Buaya terbesar mati di Filipina



SELEPAS diukur, Lolong yang sepanjang 6.17m diisytihar buaya terbesar dalam kurungan.


MANILA - Seekor buaya jantan air masin terbesar yang pernah dipelihara di dalam kurungan, Lolong mati selepas 17 bulan reptilia itu ditangkap.
Lolong yang berukuran 6.17 meter (m) panjang mati pada malam Ahad lalu akibat penyakit misteri di sebuah taman ekopelancongan di Bunawan, Pulau Mindanao.
Taman itu dibina oleh kakitangan perbandaran untuk mempamerkan buaya berkenaan.
Kehadiran haiwan tersebut menyebabkan ramai pelancong datang ke Bunawan sekali gus memberi pulangan ekonomi yang besar kepada bandar kecil itu.
"Ia merupakan hari yang paling sedih buat kami. Lolong telah membawa kemasyhuran kepada bandar kami," kata jurucakap bandar itu, Welinda Elorde kepada agensi berita AFP.
Reptilia itu ditangkap di sebatang anak sungai pada September 2011 selepas ia dipercayai membaham kepala seorang kanak-kanak perempuan.
Perangkap besi digunakan untuk menangkap haiwan itu.
Buaya itu juga dipercayai membaham seorang nelayan.
Kira-kira 100 orang yang diketuai Elorde menarik buaya tersebut dengan menggunakan tali dari anak sungai kecil sebelum ia diangkut dengan kren ke atas sebuah trak.
Selepas ditangkap oleh sekumpulan penduduk tempatan dan pakar-pakar haiwan itu, ia diletakkan di dalam kurungan untuk dipamerkan kepada orang ramai.
Akhbar The Philippine Star melaporkan semalam bahawa Lolong menelan tali pntal tiga minggu lalu.
"Kami telah memberikan haiwan itu daging, ayam dan itik.
"Tidak mungkin, ia makan makanan lain," kata Elorde.
Pada tahun lalu, Guinness Book of World Records secara rasminya mengisytiharkan Lolong sebagai buaya terbesar pernah hidup dalam kurungan.
Menurut Elorde, haiwan itu diberi nama Lolong sempena nama seorang pegawai alam sekitar yang mati disebabkan serangan jantung selepas dia pergi ke Bunawan untuk membantu menangkap buaya tersebut.
Satu majlis pengebumian khas akan diadakan untuk Lolong yang seberat hampir satu tan.
Badannya mungkin diawet untuk dipamerkan di sebuah muzium.
Penduduk Bunawan merancang untuk melakukan majlis ritual dengan menyembelih ayam bagi mengucapkan terima kasih kepada roh hutan kerana populariti yang dibawa haiwan berkenaan.
Sekumpulan penganut Kristian juga akan berdoa sebelum reptilia itu dibedah siasat.
Lolong menewaskan pemegang rekod sebelum in, Cassius yang sepanjang 5.48m.
Cassius dipamerkan di sebuah taman di Pulau Green di luar perairan Queensland, Australia. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2KduiGSrN 
Hakcipta terpelihara 

No comments: