Pages

Tuesday, January 15, 2013

Tentera Syria guna bom berangkai



PENDUDUK Syria berkumpul di lokasi yang menjadi sasaran serangan jet pejuang tentera kerajaan Syria di utara bandar Aleppo, kelmarin. - REUTERS
BEIRUT 14 Jan. - Tentera Syria meningkatkan serangan ke atas kubu pemberontak dengan melancarkan roket membawa bom berangkai, walaupun penggunaan senjata itu dikutuk badan antarabangsa.
Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) hari ini berkata, sebelum ini Syria menggunakan bom yang sama dalam serangan udara, dan serangan itu kini diperhebatkan lagi melalui pelancaran roket dari darat.
"Syria kembali meningkatkan serangan menggunakan bom berangkai yang lebih berbahaya dan mengancam penduduk awam, walaupun tindakan itu dikutuk badan antarabangsa," kata pengarah HRW, Steve Goose dalam satu kenyataan.
Berdasarkan wawancara dengan saksi, menganalisis rakaman video yang dirakam oleh aktivis dan wartawan antarabangsa, Goose berkata, pihaknya menyimpulkan bahawa tentera Syria telah menggunakan senjata buatan Mesir itu sejak awal Disember lalu.
Menurutnya, bukti menunjukkan tentera Syria menggunakan pelancar roket pelbagai laras BM-21 Grad yang berupaya membawa senjata berangkai dalam serangan dekat bandar Idlib pada bulan lalu dan di Latamneh, barat laut Hamas pada 3 Januari lalu.
"Ini merupakan bukti pertama penggunaan bom berangkai yang dilancarkan dari darat oleh tentera Syria," katanya.
Dalam perkembangan terbaru, sekurang-kurangnya 20 terbunuh hari ini, selepas tentera Syria melancarkan serangan udara ke atas kubu pemberontak di barat daya ibu negara Syria, Damsyik.
Aktivis yang tidak mahu dikenali berkata, mangsa terkorban terdiri daripada dua buah keluarga, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Satu rakaman video aktivis tersebut menunjukkan mayat seorang budak lelaki yang dikeluarkan daripada runtuhan kediamannya, dengan badan diselimuti debu dan berlumuran darah. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130115/lu_02/Tentera-Syria-guna-bom-berangkai#ixzz2I3RFvB00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: