BANGKOK: Untuk mereka yang sukakan kopi, mungkin Thailand adalah destinasi terbaik apabila sebuah hotel mewah mula menjual kopi daripada najis gajah.
Campuran dinamakan Black Ivory, diperbuat daripada biji kopi yang dimakan, dihadam dan kemudian dikeluarkan sebagai najis oleh gajah di negara itu, dikatakan menghasilkan secangkir kopi yang sedap.
Namun, harganya tidak murah.
Menurut Anantara Hotel, kopi yang ‘ditapis secara semula jadi’ berharga AS$1,100 (RM3,344) sekilogram, menjadikan ia campuran kopi termahal di dunia.
“Kajian mendapati, ketika penghadaman, enzim gajah itu memecahkan protein kopi,” kata kenyataan yang dikeluarkan rangkaian hotel yang berpusat di Thailand itu.
Ia menjual dua cawan kopi yang berbau kuat itu pada harga AS$50 (RM152).
“Oleh kerana protein adalah faktor utama bertanggungjawab menghasilkan kepahitan dalam kopi, ke kurangan protein bermakna tiada rasa pahit,” katanya.
Sebaik saja gajah mengeluarkan najis, penjaganya akan mengasingkan biji kopi daripada najis itu dan mengeringkannya.
Proses itu dibuat di pusat menyelamat gajah hotel berkenaan di utara Thai.
Kira-kira 30 haiwan itu dipelihara di pusat itu dan tinggal bersama penjaga dan keluarga mereka. - AFP
No comments:
Post a Comment