LONDON: Dua wanita adik-beradik berdepan masalah apabila mereka mengalami masalah prosopagnosia (buta wajah) dan tidak dapat membezakan suami masing-masing.
Prosopagnosia juga menyebabkan Donna Jones dan Victoria Wardley tidak mampu mengingati wajah masing-masing, selain sentiasa keliru terhadap wajah anak mereka.
Justeru, Donna dan Victoria terpaksa menghabiskan masa berjam-jam untuk mencari keluarga masing-masing jika mereka terpisah ketika berada di luar rumah. Menurut Victoria, 32, masalah dihadapi mereka amat serius sehinggakan mereka juga gagal mengenali wajah sendiri jika melihat cermin. “Ketika melihat wajah seseorang, saya berasa seperti melihat melalui terowong.
“Saya boleh melihat mata atau hidung, tetapi apabila saya cuba melihat keseluruhan wajah, saya gagal mengingati apa-apa seolah-olah sedang memandang kanvas kosong,” katanya. Menurut wanita berasal dari Yorkshire itu, jika bertemu kenalannya di mana-mana, dia terpaksa berkenalan sekali lagi kerana tidak dapat mengenali wajah mereka. Victoria disahkan menghidap prosopagnosia beberapa tahun lalu sebelum masalah sama dikesan pada adiknya, Donna, 30. Prosopagnosia adalah kecacatan deria penglihatan seseorang apabila melihat wajah walaupun kemampuan mereka mengenali objek lain - secara relatif - adalah baik.
Menurut Donna, sebelum itu dia menyangka menghadapi masalah mengenali seseorang kerana kurang memberi perhatian kepada individu yang ditemuinya. “Namun, selepas Victoria memberi tahu masalahnya, saya faham keadaan itu turut menimpa saya,” katanya. - DM
No comments:
Post a Comment