BAITULMAQDIS: Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) semalam berkata, banduan Palestin yang melancarkan mogok lapar selama lebih 80 hari menamatkan protes mereka, namun sumber lain menafikan dakwaan itu.
Jurucakap IPS, Sivan Weizman, berkata tahanan terbabit, Mahmud Sarsak, menamatkan mogoknya selepas berunding dengan peguam dan pentadbir penjara.
Bagaimanapun, keluarga Mahmud di Gaza dan pegawai Kelab Banduan Palestin di Ramallah menafikan kenyataan itu.
Peguam Mahmud, Mohammed Jabarin, enggan memberi komen terhadap dakwaan IPS.
Kata Sivan, Mahmud yang ditahan di Penjara Ramle - tidak memberi sebab menamatkan mogoknya.
“Kesihatan Mahmud kini dipantau dan dia mula mengambil makanan secara berperingkat,” katanya.
Mahmud mula mogok akhir Mac lalu bersama beberapa tahanan lain bagi membantah keadaan mereka di penjara Israel.
Mogok beramai-ramai itu tamat 14 Mei lalu selepas Israel bersetuju melonggarkan sekatan mereka di penjara. - AFP
No comments:
Post a Comment