PANGKALAN UDARA MARKA (Jordan): Syarikat Penerbangan Palestin kembali terbang di udara selepas tidak beroperasi selama tujuh tahun ekoran konflik berlarutan Israel-Palestin.
Pernah menjadi simbol negara Palestin, pengangkutan udara itu hanya beroperasi secara kecil-kecilan melalui pesawat turboprop 48 tempat duduk dan terbang dua kali seminggu serta meminjam hab udara di Mesir.
Bagaimanapun, rakyat Palestin berkata, keupayaan untuk beroperasi semula adalah perkara paling utama.
“Tangan saya menggeletar ketika saya membeli tiket...dan nama pengangkutan udara yang tertera adalah Penerbangan Palestin,” kata penumpang yang juga seorang guru berusia 38 tahun dari Gaza, Zuhair Mohammed. Nasib syarikat penerbangan berusia 15 tahun itu mempunyai kaitan rapat dengan tuntutan untuk kewujudan negara Palestin.
Pada akhir 1990-an, ketika rakyat Palestin dalam usaha meyelesaikan perjanjian mengenai pembentukan negara Palestin dengan Israel, Penerbangan Palestin beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Gaza, menerbangkan puluhan ribu penumpang setahun ke destinasi Timur Tengah dan merancang untuk mengembangkan operasi ke Eropah.
Impian itu musnah akibat berlakunya pemberontakan rakyat Palestin terhadap penjajahan Israel pada September 2000, ekoran kegagalan rundingan damai diketuai oleh AS. Setahun selepas itu, tentera Israel memusnahkan Lapangan Terbang Gaza dan Penerbangan Palestin terpaksa memindahkan pangkalannya ke El-Arish, pusat peranginan tepi laut di Mesir kira-kira 60 kilometer dari Gaza.
Tujuh tahun lalu, syarikat penerbangan itu menghentikan penerbangan sama sekali selepas jumlah penumpang semakin berkurangan. - AP
No comments:
Post a Comment