Pages

Saturday, February 11, 2012

Wanita Melayu hidap hipertensi


Oleh Nor Fariza Ramlan dan Nor Amanina Omar

2012/02/11

KUALA LUMPUR: Wanita Melayu didapati menjadi penghidap hipertensi (tekanan darah tinggi) paling ramai di Malaysia dan penyakit itu pembunuh senyap nombor satu negara ini serta menjadi penyebab utama penyakit kardiovaskular.

Didapati 5.8 juta orang di negara ini mempunyai hipertensi tetapi malangnya, hanya 2.2 juta pesakit mengambil inisiatif mendapatkan rawatan dan ubat bagi mengawalnya.

Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia, Dr Azani Mohamad Daud, berkata berdasarkan maklumat dalam kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), sebanyak 48.4 peratus wanita Melayu menghidap penyakit ini disebabkan gaya hidup, pemakanan serta kurang bersenam.
“Satu daripada dua wanita mempunyai hipertensi dan penyakit ini berlaku atas pelbagai faktor termasuk gaya hidup tidak mementingkan kesihatan serta tidak menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Jika tidak dikawal, ia menjadi antara punca Non Communicable Disease (NCD) atau penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, strok dan kerosakan buah pinggang dalam masa panjang,” katanya selepas Mesyuarat Tahunan Saintifik persatuan berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman.

Katanya, orang ramai perlu sedar penyakit ini tidak mempunyai gejala jelas dan ia boleh dikesan melalui pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya setahun sekali.

Sementara itu, Dr Hasan ketika diminta mengulas Skim Penjagaan Kesihatan Nasional (1Care) berkata, ia masih dalam proses perbincangan dan cadangan dijangka siap tahun depan.
“Saya tidak pernah kata skim ini mandatori kepada semua,” katanya.

Mengulas larangan rawatan lintah, beliau berkata, pihaknya hanya mengiktiraf kaedah rawatan yang mempunyai bukti kukuh.

“Sama seperti rawatan ikan, setakat ini belum ada bukti saintifik mengatakan rawatan lintah itu berkesan dan menjadi tanggungjawab kementerian melindungi keselamatan orang ramai,” katanya.
Berita Harian Online | Wanita Melayu hidap hipertensi:

'via Blog this'

No comments: