Pages

Saturday, February 11, 2012

Ikhwan Muslimin gesa tentera serah kuasa


KAHERAH 10 Feb. - Ikhwan Muslimin semalam menggesa pemerintah tentera Mesir menyerahkan kuasa, dalam satu keadaan memperlihatkan konfrontasi yang sekian lama dijangka di antara jeneral pemerintah dan pergerakan Islam yang menguasai Parlimen itu.

Dalam satu kenyataan di laman webnya dan wawancara bersama pemimpin kanannya yang disiarkan di televisyen, pergerakan tersebut mendesak tentera membenarkan Perdana Menteri Kamal al-Ganzouri diganti serta pembentukan Kabinet dengan satu kerajaan campuran oleh Parlimen.

Pembentukan kerajaan campuran itu membolehkan peralihan kuasa dilakukan segera.

Kumpulan Islam yang pernah diharamkan di Mesir itu sebelum ini menyatakan, pihaknya akan menunggu tempoh peralihan kuasa yang dijanjikan tentera pada Jun ini selepas menyingkirkan Presiden Hosni Mubarak tahun lalu.

Namun, pendirian pergerakan itu berubah selepas kerajaan dikawal tentera berdepan pelbagai kemelut termasuk rusuhan maut semasa satu perlawanan bola sepak minggu lalu diikuti protes ganas oleh penunjuk perasaan selama lima hari.

"Kita mesti mulakan pembentukan kerajaan campuran dengan segera bagi mengendalikan situasi ekonomi dan keadaan negara tanpa undang-undang di Mesir sekarang," kata Timbalan Pemimpin Tertingginya, Khairat el Shater seperti yang dipetik al-Jazeera.

Beliau dalam kenyataan di laman web pergerakan tersebut, turut merujuk kepada keganasan berulang kali yang digunakan pihak tentera terhadap penunjuk perasaan.

"Menggunakan kekerasan dan keganasan ke atas penunjuk perasaan adalah salah sama sekali, ia melambangkan kelemahan dan salah urus oleh Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Sama seperti penunjuk perasaan dan parti liberal Mesir, Ikhwan Muslimin mahu tentera menyerahkan kuasa serta merta.

Bagaimanapun, dalam keadaan demokrasi mula diterima di negara ini, pemimpin parti liberal semalam menyatakan mereka masih enggan membentuk kerajaan campuran dengan parti Islam tersebut sebaliknya hanya mahu bertindak sebagai pembangkang. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: