Pages

Sunday, December 2, 2012

Provokasi Israel, bina 3,000 unit apartmen di Tebing Barat

Provokasi Israel, bina 3,000 unit apartmen di Tebing Barat - Global - Sinar Harian:

TEL AVIV - Israel memberi respons segera semalam selepas Palestin berjaya menaik taraf status kepada negara pemerhati bukan anggota di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.
Mereka mengumumkan rancangan untuk membina penempatan haram tambahan golongan Yahudi termasuk pelan pembangunan di kawasan strategik di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Menurut laman sesawang rasmi berita Ynet, perkara itu diputuskan oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bersama lapan menteri kanan Kabinet.
Beberapa pengkritik berpendapat keputusan tersebut sebenarnya bertujuan memalukan Amerika Syarikat (AS) berikutan kegagalan mereka untuk menghalang usaha Palestin di PBB, lapor AP.
Difahamkan, projek itu akan melibatkan pembinaan 3,000 unit apartmen di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur serta pelan pembangunan penempatan haram yang lebih besar di Maaleh Adumim.
Sebelum ini, projek pembangunan di Maaleh Adumin atau E-1 itu pernah dihalang AS kerana ia akan memisahkan Baitulmaqdis Timur dari Tebing Barat, sekali gus ia akan menyebabkan kawasan utara berpecah dari wilayah selatan.
Dalam satu kenyataan lain, Wakil Palestin ke PBB, Riyad Mansour menyifatkan tindakan baru Israel itu adalah satu provokasi segera dan melanggar undang-undang.
"Mereka cuba untuk mencetuskan provokasi dan mahu kami memberi tindak balas. Kami tetap mahu perkara tersebut diselesaikan secara aman, namun jika provokasi Israel melampaui batas kami tidak akan teragak-agak untuk bertindak," katanya.
Sejak 1967, jumlah penduduk Yahudi yang tinggal di penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur meningkat kepada setengah juta berbanding 2.7 juta penduduk Palestin akibat peluasan projek pembangunan di kawasan itu.    

'via Blog this'

No comments: