Pages

Sunday, December 2, 2012

Pemberontak guna kanak-kanak



Tentera Pembebasan Syria menaiki sebuah kereta kebal yang mereka tawan daripada tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad di Qasseer dekat bandar Homs pada 19 November lalu. - REUTERS
BEIRUT 29 Nov. - Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) bagi Syria menuduh kumpulan pemberontak di negara itu menggunakan kanak-kanak lelaki sebagai tentera dalam pertempuran dengan tentera kerajaan.
''Kanak-kanak seawal umur 14 tahun berkhidmat sekurang-kurangnya dalam tiga briged kumpulan pemberontak iaitu membawa senjata, membekalkan senjata dan bertindak sebagai peninjau.
''Kanak-kanak berumur 16 tahun pula mengangkat senjata dan terlibat dalam pertempuran dengan tentera kerajaan,'' kata kumpulan itu yang berpangkalan di Britain.
Sehubungan itu, HRW menggesa pihak berkuasa pemberontak menghentikan amalan tersebut dan mengharamkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun menyertai kumpulan itu, walaupun atas dasar sukarela.
''Semua 'mata' kini tertumpu kepada pembangkang Syria bagi membuktikan mereka berusaha melindungi kanak-kanak daripada peluru dan bom dan meletakkan mereka dalam bahaya,'' kata Priyanka Motaparthy, penyelidik hak asasi kanak-kanak Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria.
HRW telah menemubual lima kanak-kanak berusia antara 14 dan 16 tahun yang mendakwa mereka bekerja bersama tentera kumpulan pemberontak.
'Majid' seorang kanak-kanak berusia 16 tahun dari Homs memberitahu HRW bahawa dia menerima latihan ketenteraan dan menyertai misi di Syria bersama abangnya.
''Tugas anda bergantung kepada diri sendiri. Sekiranya anda berjiwa berani, mereka (pemberontak) akan menghantar anda untuk bertempur,'' katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121130/lu_01/Pemberontak-guna-kanak-kanak#ixzz2DsTKvsq2
© Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments: