Pages

Saturday, December 22, 2012

Kiamat tak jadi


     BEBERAPA wanita yang mengecat hijau wajah mereka berlindung di Kampung Bugarach di Perancis yang dianggap sebagai tempat selamat daripada kiamat.     
BEBERAPA wanita yang mengecat hijau wajah mereka berlindung di Kampung Bugarach di Perancis yang dianggap sebagai tempat selamat daripada kiamat.
LONDON: Jika anda masih hidup pada hari ini maka jelas ramalan kaum Maya bahawa dunia berakhir semalam ternyata silap.

Pakar mendapati bahawa kalendar Maya meramalkan semuanya berakhir tepat jam 11.11 malam semalam.


Bagaimanapun, hari ini dunia masih ada dan hari masih berterusan. Puluhan orang yang membanjiri Kampung Bugarach di Perancis kerana menyangka mereka berada di satu-satunya tempat paling selamat daripada kiamat boleh pulang ke kediaman masing-masing.

Di tempat persembunyian lain, termasuk peluang untuk menyewa kubu bawah tanah Josef Stalin dengan harga AS$1,500 (RM4,590), mereka juga boleh pulang ke rumah. Bagaimanapun, mereka yang menyewa kubu 210 kaki bawah tanah itu bernasib baik kerana akan memperoleh 50 peratus daripada bayaran itu kerana kiamat tidak berlaku.


Sementara itu, di Serbia, tempat perlindungan di Gunung Rtanj yang berbentuk piramid dibanjiri golongan fanatik. Legenda tempatan menyatakan gunung itu pernah menelan ahli sihir jahat yang hanya akan dibebaskan pada hari kiamat dalama bentuk bola api. Bahagian dalam gunung itu kononnya menjadi tempat selamat untuk berlindung kerana dipercayai ahli sihir terbabit akan memusnahkan seluruh dunia.


Sementara itu, beberapa lombong arang batu lama dibuka sebagai ruang selamat untuk puluhan yang tiba di situ.

Sirince, perkampungan kecil di Turki yang terkenal dengan wainnya, juga dianggap sebagai lokasi selamat ekoran kawasan itu hampir dengan tempat di mana Virgin Mary kononnya hidup hingga dia meninggal dunia.


Di China, ramalan itu sudah pun menimbulkan masalah apabila pihak berkuasa negara itu menahan lebih 900 orang minggu ini.

Sekumpulan penganut Kristian berdepan masalah apabila menyebarkan khabar angin mengenai dunia akan kiamat menerusi risalah, cakera padat, buku dan bahan lain yang kemudian dirampas.


Mereka yang ditahan dilaporkan adalah kumpulan Almighty God yang juga dikenali sebagai Eastern Lightning. Pihak berkuasa di Qinghai berkata, mereka melancarkan operasi terhadap kumpulan itu dengan mendakwa mereka menyerang Parti Komunis dan kerajaan. Imej palsu bandar raya Sydney ditawan meteor berapi dan makhluk gergasi tersebar luas di Internet.


Lima individu hippie, termasuk seorang yang mengacukan pistol Taser dihalang polis Perancis ketika mereka cuba memasuki Bugarach. Kampung di kaki banjaran Pyrenees itu dikatakan mengandungi garaj UFO yang akan membawa orang ramai keluar dari bumi ketika kalendar Maya berakhir. Pengikut hari kiamat di sini yakin bahawa tidak akan ada tarikh 22 Disember untuk semua kecuali mereka yang melarikan diri ke desa yang mempunyai 189 penduduk itu.


Jumlah itu meningkat tiga kali ganda semalam dengan 200 wartawan yang kebanyakannya mempercayai aliran New Age turut serta.


Bagaimanapun, 100 anggota polis yang membuat sekatan jalan raya berkata, tiada sesiapa pun dibenarkan masuk ke kampung itu sehingga hari Krismas. Sementara itu, Datuk Bandar Bugarach, Jean-Pierre Delord turut meminta golongan fanatik tidak memasuki kampung berkenaan.


“Kami tidak mahu orang ramai ke sini atas sebab tidak wajar dan kami tidak boleh bertolak ansur dengan jumlah pengunjung yang ramai,” katanya. - Agensi

No comments: