Mohammed Mursi
Mohammed Mursi
KAHERAH - Presiden Mesir, Mohammed Mursi tetap mempertahankan dekri yang diumumkan oleh beliau pada minggu lalu, walaupun ia dikecam banyak pihak terutamanya Majlis Tertinggi Kehakiman negara itu.
Mohammed berkata, dekri tersebut tidak mencabul kuasa mereka (hakim) walaupun beliau berkuasa penuh sehingga Perlembagaan baru digubal.

Difahamkan, dekri itu masih mengehadkan kuasa presiden terhadap isu berkaitan kedaulatan, namun ia masih tidak dapat memuaskan hati badan kehakiman negara tersebut.

Pemimpin itu juga sudah berulang kali memberi jaminan bahawa pelaksanaan dekri tersebut hanya sementara kerana beliau terlebih dahulu mahu mengadakan sesi dialog dengan parti politik lain bagi mencari sefahaman berhubung aspek yang perlu dimasukkan dalam Perlembagaan Mesir.

Bagaimanapun, usaha beliau itu ditolak bulat-bulat oleh pakatan pembangkang berhaluan kiri, Barisan Penyelamat Nasional dan beberapa parti politik lain, lapor AP.

Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa dilaporkan bertempur dengan kumpulan pemuda berhampiran Dataran Tahrir yang berterusan membantah dekri Mohammed dalam tunjuk perasaan terbaru, hari ini.

Mereka bertindak membaling batu ke arah polis yang terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan keadaan.

Sementara itu, penyokong Ikhwanul Muslimin turut membatalkan perhimpunan pada hari sama bagi mengelakkan pertempuran dengan kumpulan antikerajaan tersebut.