Lima: Bolivia menyerahkan satu mumia budak kepada Peru kelmarin selepas merampasnya daripada sekumpulan penyeludup antikuiti.
Mumia itu yang terkenal di Peru berusia sekurangnya 700 tahun dan hanya setinggi 30.48 sentimeter.
Peru menyambut baik langkah Bolivia menyerahkan mumia itu dan menganggapnya sebahagian daripada usaha melindungi warisan budayanya.
“Mumia itu kecil saja. Ia melambangkan bagaimana sejarah warisan kita dicabul,” kata Menteri Kebudayaan Peru, Luis Peirano kepada wartawan.
Polis rampas
Polis Bolivia merampasnya selepas seorang penduduk memasukkannya dalam kotak kadbod dan cuba menghantarnya dengan kapal ke satu alamat di Compiegne, Perancis, dua tahun lalu.
Menteri Kebudayaan Bolivia, Pablo Groux, secara rasmi me nyerahkannya kepada Peru dalam sidang akhbar.
Ia dibungkus dengan kain linen dengan lapisan kapas dan wool di bawahnya bagi melindungi keadaan mumia itu.
“Penyeludup cuba meningkatkan harganya dengan meletakkan bahan lain pada mumia itu,” kata pegawai Kementerian Kebudayaan Peru, Blanca Alva.
Jantina mumia itu tidak dapat dipastikan. Pakar arkeologi percaya, mumia budak itu berasal dari kawasan pantai Peru sebelum era Inca dan berusia dua tahun.
Peru adalah pusat empayar Inca dan menjadi tempat simpanan berpuluh warisan budaya zaman itu.
Banyak warisan zaman itu dicuri termasuk seramik, kraftangan emas dan perak serta tekstil dan lukisan sebelum era penjajahan.
Mumia budak diserahkan kepada Peru itu adalah yang kedua dipulangkan selepas Jerman menyerahkan satu lagi mumia tahun lalu. - AP
No comments:
Post a Comment