ISTANBUL 7 Okt. - Turki terus membedil Syria selepas bom mortar dari negara jirannya itu mengenai wilayahnya semalam, sehari selepas Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan memberi amaran negara ini tidak segan silu untuk berperang jika diprovokasi.
Serangan semalam dibuat Ankara untuk hari keempat berturut-turut bagi membalas bedilan tentera Syria selepas insiden yang menyebabkan lima rakyatnya maut dalam kejadian pada Rabu lalu.
Pertempuran merentasi sempadan antara kedua-dua negara itu adalah yang paling serius sejak kebangkitan rakyat tercetus di Syria yang kemudiannya bertukar menjadi perang saudara.
Turki yang pernah menjadi sekutu kepada Syria, mengubah haluan menentang Presiden Bashar al-Assad selepas pemimpin Damsyik itu melancarkan tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan dengan lebih 30,000 orang telah dilaporkan maut, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Turki yang mengendalikan kira-kira 100,000 pelarian Syria di kem-kem di wilayahnya telah memberi perlindungan kepada pemimpin pemberontak, selain menggesa Assad meletak jawatan.
Erdogan pada Jumaat lalu menegaskan negara ini tidak mahu berperang tetapi memberi amaran supaya Syria tidak membuat 'kesilapan membawa maut' dengan menguji pendirian mereka.
Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu semalam berkata, lampu hijau diluluskan Parlimen untuk melancarkan serangan merentasi sempadan dibuat sebagai langkah pencegahan.
Sementara itu di Syria, hampir 50 anggota tentera termasuk pemberontak terkorban dalam satu pertempuran berhampiran sempadan utara negara itu.
Menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, seramai 40 anggota tentera dan sembilan pemberontak maut selepas kumpulan pemberontak menawan sebuah pekan di barat laut di wilayah Idlib, Syria. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121008/lu_01/Turki-Syria-terus-berbalas-serangan#ixzz28mJUKVab
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment