Pages

Monday, October 8, 2012

Turki serang balas bedilan meriam Syria


ASKAR-ASKAR Turki mengawal pintu sempadan di bandar Akcakale semalam.


WASHINGTON - Tentera Turki di bandar Akcakale melepaskan bedilan meriam ke Syria semalam, lapor agensi berita Dogan.
Tindakan itu dilakukan selepas satu bedilan meriam tentera Syria mengenai sebuah kawasan di bandar tersebut yang merupakan insiden kedua dalam tempoh lima hari.
Bedilan itu mengenai pekarangan sebuah bangunan awam yang terletak tidak jauh dari bandar Akcakale.
Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Pada Rabu lalu, lima penduduk awam Turki mati di bandar tersebut ekoran serangan mortar tentera Syria dari bandar Tal al-Abad.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Leon Panetta kelmarin berkata, insiden berbalas bedilan meriam antara Syria dan Turki akan merebak ke negara-negara jiran.
Menurutnya, AS sedang menggunakan saluran diplomatiknya untuk melegakan kebimbangan berhubung pertempuran tersebut dengan harapan ia tidak akan merebak.
Komen Panetta dibuat semasa beliau melawat Peru selepas Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengeluarkan amaran bahawa negaranya kini di ambang peperangan dengan Syria.
Turki dan Syria berbalas bedilan meriam ketika kumpulan pemberontak bertempur dengan tentera Presiden Bashar Al-Assad dekat kawasan sempadan pada Sabtu lalu.
Pertempuran itu meningkatkan kebimbangan krisis di Syria akan mencetuskan konflik di rantau tersebut.
Sebelum ini, Erdogan memberi amaran bahawa negaranya tidak akan bersabar dengan tindakan Syria yang membedil wilayahnya.
Sementara itu, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu berkata, Naib Presiden Syria, Faruq Al-Shara dianggap sebagai pengganti Presiden Bashar Al-Assad untuk menjadi ketua pentadbiran buat sementara waktu bagi menamatkan perang saudara di negara berkenaan.
"Faruq merupakan seorang lelaki yang munasabah dan memiliki perasaan belas kasihan. Beliau juga tidak terlibat dengan pembunuhan beramai-ramai di Syria. Tiada siapa yang lebih arif daripada beliau tentang sistem pentadbiran negara itu," kata Davutoglu ketika diwawancara wartawan saluran televisyenTRT kelmarin.
Menteri berkenaan menegaskan bahawa pihak penentang di Syria cenderung untuk menerima Faruq sebagai pemimpin masa hadapan Syria. - Agensi

No comments: