Pages

Tuesday, October 23, 2012

Tembakan di Lebanon, empat terbunuh

Tentera Lebanon menggunakan kereta kebal berkawal di kawasan
berlaku pertempuran antara pasukan keselamatan dan pasukan
bersenjata Sunnah di Beirut, kelmarin. - REUTERS
BEIRUT 22 Okt. - Sebanyak empat orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut dan berpuluh orang yang lain cedera dalam dua kejadian tembakan berasingan, di sini dan di Tripoli, selepas majlis pengkebumian pegawai perisikan kanan Lebanon yang terbunuh dalam satu serangan bom kereta, Jumaat lalu.
Kanak-kanak berumur sembilan tahun itu terbunuh setelah mengalami kecederaan di kepala akibat terkena tembakan apabila penyokong dan penentang Presiden Syria, Bashar al-Assad berbalas-balas tembakan di bandar Tripoli, Lebanon.
Sebanyak tiga orang lain turut terbunuh dan 26 orang lain cedera dalam pertempuran antara puak Alawite yang menyokong al-Assad dan puak Sunnah.
Sementara itu, lima orang cedera dalam kejadian berbalas-balas tembakan di pinggir bandar Tariq al-Jadida, malam tadi selepas sekumpulan orang yang menghadiri majlis pengkebumian Ketua Perisikan Keselamatan Dalam Negeri, Jeneral Wissam al-Hassan, cuba menyerbu pejabat Perdana Menteri, Najib Mikati, kata sumber keselamatan dan perubatan.
Beribu-ribu orang berkumpul di Dataran Syahid, Beirut untuk menghadiri pengkebumian Jeneral Wissam yang dibunuh empat hari lalu.
Media tempatan melaporkan, tentera menutup beberapa jalan raya di kawasan kejadian.
Dalam pada itu, tentera Lebanon menyatakan akan mengambil 'pendekatan tegas' bagi mengawal keadaan daripada bertambah buruk terutama di kawasan terbabit.
Keganasan berlaku selepas seorang pemimpin pembangkang menggesa Najib meletakkan jawatan bagi membolehkan rundingan dibuat berhubung krisis tersebut.
Sekumpulan orang kemudian berarak ke pejabat Perdana Menteri dan meruntuhkan sekatan termasuk pagar berduri di sekeliling pejabat Perdana Menteri, serta melemparkan batu ke arah askar dan polis.
Pasukan keselamatan bertindak melepaskan tembakan ke udara dan gas pemedih mata bagi memaksa penunjuk perasaan bersurai. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121023/lu_02/Tembakan-di-Lebanon-empat-terbunuh#ixzz2A69Is0nM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: