Pages

Saturday, October 6, 2012

PBB kutuk Syria, Turki

PBB kutuk Syria, Turki
Lima terbunuh dalam serangan di sempadan Turki, kelmarin
NEW YORK - Majlis Keselamatan sebulat suara meluluskan satu resolusi mengutuk Syria terhadap bedilan balas di sempadan Turki sehingga menyebabkan lima terbunuh, kelmarin.
Ahli majlis semalam, berjaya meraih resolusi itu selepas tuntutan Amerika Syarikat (AS) disokong oleh sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dalam rundingan khas dihadiri seramai 15 ahli majlis.

Jurucakap PBB berkata, PBB menuntut menamatkan segera pelanggaran undang-undang antarabangsa dan menggesa kerajaan Syria supaya menghormati kedaulatan dan integriti wilayah jiran negaranya.

Majlis Keselamatan turut menggesa Turki bertindak secara bijak, rasional dan bertanggungjawab dan mencegah penyeludupan senjata dan penyusupan merentas sempadan oleh pengganas dan pemberontak.

Sementara itu, Duta PBB Syria Bashar Ja’afari berkata, kerajaan Syria tidak meningkatkan sebarang tekanan keganasan terhadap Turki dan mahu mengekalkan hubungan kejiranan yang baik.

“Syria tidak akan memohon maaf terhadap serangan itu sebaliknya masih menunggu hasil siasatan terhadap punca serangan,” katanya.
Perselisihan terbaru antara Syria dan Turki, tercetus selepas bedilan mortar di bandar itu mengorbankan lima orang, termasuk seorang ibu dan tiga anaknya.

Sebagai serangan balas, Ankara melancarkan bedilan yang turut menyebabkan beberapa askar Syria maut.

Serangan oleh Syria itu juga menyaksikan buat pertama kali rakyat Turki menjadi korban akibat kebangkitan rakyat negara itu menentang kerajaan Presiden Bashar al-Assad sejak Mac 2011. - AFP

No comments: