|
ATHENS - Sebuah kapal yang membawa aktivis pro-Palestin untuk menceroboh sekatan Gaza mengambil para penumpang di selatan Greece semalam.
Sebelum ini Israel menghalang kapal asing membawa bantuan ke Gaza. Kapal SV Estelle yang berlepas dari Sweden dan meninggalkan Naples di Itali pada 6 Oktober lalu itu singgah di Pulau Crete yang terletak di perairan antarabangsa pada Selasa lalu.
Kapal yang sarat dengan bekalan makanan dan penumpang itu kemudiannya meneruskan pelayaran dengan membawa lima wakil rakyat dari beberapa buah negara.
Wakil rakyat itu dari Sweden, Sepanyol, Greece dan Norway.
Selain itu, turut berada di atas kapal itu ialah 30 ekor burung merpati yang akan dibebaskan sebaik sahaja kapal itu tiba di Gaza.
Kapal itu dijangka sampai di Gaza pada Sabtu ini.
Sebelum ini, cubaan pertama pada Mei 2010 oleh kapal Freedom Flotilla yang ingin memasuki kawasan halangan pihak Israel berakhir tragedi apabila sembilan warga Turki terbunuh dalam misi tersebut.
Cubaan kedua pada pertengahan 2011 turut gagal apabila kapal yang belayar dari Athens dipintas pihak berkuasa Greece.
Pada November tahun lalu, tentera laut Israel berjaya mematahkan cubaan dua warga Ireland dan Kanada yang membawa 27 penumpang dan kru kapal untuk melepasi sekatan perairan antarabangsa di luar Gaza. - AFP
No comments:
Post a Comment