NICOSIA, Cyprus – Tiada siapa yang tahu berapa lama seorang kanak-kanak lelaki, Bushr Al-Tawashi, 2, berada di dalam rumahnya yang telah musnah di ibu negara Syria sebelum tentera pemberontak menemui dan menyerahkan Bushr kepada ibu bapanya yang percaya bahawa anak mereka sudah mati.
Ketika berusaha melarikan diri apabila pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak tercetus di Al-Kaboun, pinggir Damsyik, ibu bapa Bushr, Arin Al-Dakkar dan Machhour Al-Tawashi menyangka anak mereka telah diambil oleh ahli keluarga yang lain.
“Apabila tiba di sebuah kem pelarian, mereka mula menyedari kehilangan Bushr. Malangnya, pertempuran sengit menghalang mereka untuk kembali ke Damsyik,” kata seorang peguam dari Cyprus, Stella Constantinou.
Yakin bahawa anaknya sudah tiada, Al-Tawashi, isteri dan dua orang anaknya tiba di Cyprus pada 6 Ogos lalu untuk mendapatkan suaka. Mereka kini tinggal di bandar Limassol, Cyprus.
Setelah mendengar berita Bushr masih hidup, keluarga itu meminta bantuan Constantinou. Kementerian Luar Cyprus membantu mempercepatkan proses menyatukan semula kanak-kanak itu dengan keluarganya.
“Saya tidak dapat menjelaskan bagaimana perasaan saya apabila melihat Bushr. Pada mulanya dia tidak mengenali saya, tetapi setelah kami mujuknya, dia mula memanggil ‘ayah, ayah,” kata Al-Tawashi. – Agensi
No comments:
Post a Comment