Pages

Thursday, September 6, 2012

Tiga hakim Perancis akan minta kubur Arafat digali





PARIS - Tiga hakim Perancis melakukan persiapan untuk pergi ke bandar Ramallah di Tebing Barat bagi meminta kubur Yasser Arafat (gambar) digali semula untuk menentukan sama ada bekas pemimpin Palestin itu mati akibat diracun, kata sumber kehakiman kepada agensi berita Reuters semalam.
Ketiga-tiga hakim berkenaan perlu mendapatkan kelulusan Israel dan Pihak berkuasa Palestin bagi tujuan tersebut.
Bagaimanapun, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah melahirkan kesanggupan untuk menggali kubur Arafat di Ramallah.
Dalam perkembangan berkaitan, balu Arafat, Suha dalam satu kenyataan kepada Reuters berkata, hakim-hakim berkenaan memberitahu peguamnya bahawa mereka telah mula mengambil langkah yang perlu untuk ke Ramallah.
"Saya telah meminta Pihak Berkuasa Palestin dan Liga Arab supaya menggantung semua inisiatif lain sementara sistem kehakiman Perancis menyiasat kes ini," kata Suha.
Beberapa pakar polis akan melakukan ujian keracunan di bawah pemerhatian dan arahan tiga hakim berkenaan.
Mahkamah Perancis berkenaan melancarkan siasatan kes bunuh pada bulan lalu berhubung kematian Arafat di sebuah hospital tentera di Paris pada tahun 2004 selepas balunya menyatakan bekas pemimpin Palestin itu telah diracun.
Tiada bedah siasat dilakukan selepas kematian Arafat pada tahun 2004.
Dakwaan perbuatan khianat tersebar selepas beberapa doktor Perancis memberitahu mereka tidak dapat mengenal pasti punca kematian Arafat.
Sebelum ini Suha menyatakan Arafat diracun ekoran keputusan ujian sebuah makmal di Switzerland yang menemui bahan beracun radioaktif, polonium-210 pada pakaian bekas pemimpin itu. - Agensi

No comments: