Pemimpin anti-Islam hilang taring
Filem kontroversi Fitna memaparkan insiden 11 September 2001 yang disertakan terjemahan ayat al-Quran. Gambar kecil: Wilders.
AMSTERDAM - Ahli politik Belanda anti-Islam, Geert Wilders ternyata semakin hilang taring apabila parti pimpinannya kalah 11 kerusi yang disandang pada pilihan raya Parlimen, Rabu lalu.

Parti Wilders, Parti Pembebasan Belanda (PVV) kalah kepada dua parti kelompok teratas pimpinan Perdana Menteri, Mark Rutte, Parti Kebebasan dan Demokrasi Rakyat (VVD) dan Parti Buruh di bawah kepimpinan baru, Diederik Samsom.

Parti Rutte berjaya memperoleh kemenangan 41 kerusi manakala parti Buruh, 40 daripada 150 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Sepanjang proses berkempen dan pilihan raya, Wilders, ahli politik berhaluan kanan ditaja oleh kumpulan anti-Islam Amerika Syarikat (AS) melibatkan pembiayaan perlindungan polis dan membayar kos perundangan.

Beliau menjadi Ahli Parlimen Belanda sejak 2006 melalui kempen menentang Islam yang dianggap pembunuh kepada budaya negara dan nilai kebaratan sekali gus cukup dikenali sebagai tokoh kontroversi dalam era Islamofobia dunia.

Wilders pernah menghasilkan sebuah filem pendek bertajuk Fitna yang memaparkan imej serangan pengganas dan petikan ayat al-Quran pada 2008 sekali gus mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Filem berdurasi 16.48 minit itu ditayangkan di internet pada 27 Mac 2008 sehingga Wilders disaman oleh Kerajaan Jordan selain diancam bunuh oleh kumpulan radikal Islam.

Dua tahun lalu, Wilders pernah mendapat pembiayaan kos guaman daripada kumpulan pemikir pro-Israel berpusat di Philadelphia, AS apabila didakwa menghasut kebencian kaum terutama terhadap masyarakat Islam.

"Saya percaya Islam adalah agama yang ganas dan bahaya, namun saya tidak memusuhi penganutnya," kata Wilders yang nekad mahu Eropah mengharamkan pendatang Islam  yang didakwa berideologi fasis.- Guardian