Pages

Saturday, September 15, 2012

Paus digesa minta maaf




         
DOHA: Satu kumpulan Islam yang diketuai oleh ulama berpengaruh Sheikh Yusuf al-Qaradawi semalam menuntut Paus Benedict XVI meminta maaf kepada umat Islam ekoran kenyataan bersifat hasutan yang dibuatnya pada 2006.

Kesatuan Cendekiawan Islam antarabangsa yang berpangkalan di Qatar itu turut menuduh Paus terbabit mengapi-apikan ‘hasutan’ antara umat Islam dan Kristian dalam satu kenyataan, serentak dengan bermulanya kunjungan tiga hari Ketua Vatican itu ke Lubnan.


Kesatuan itu “menuntut Ketua Vatican itu meminta maaf kepada umat Islam atas apa yang dikatakan dalam ucapannya di Jerman...seperti mana dia telah meminta maaf kepada orang Yahudi,” kata kenyataan itu.

Pada 2006, Benedict menyinggung perasaan umat Islam apabila mengaitkan Islam dengan keganasan dalam satu ucapan di Universiti Regensburg, di selatan Jerman.


Kesatuan itu yang dipengerusikan Qaradawi yang dilahirkan di Mesir berkata, ia telah “cuba untuk berdialog dengan Vatican” tanpa kejayaan dan menuntut Benedict “supaya meminta maaf tetapi dia tidak berbuat demikian”.


Ia menuduh Benedict “mengapi-apikan hasutan antara rakan dalam satu negara’, merujuk kepada umat Islam dan penganut Kristian di Lubnan, dengan “merancang untuk menandatangani Deklarasi Paus yang mengandungi mesej dan idea berbahaya.” Mesej itu, termasuk “amaran mengenai islamisasi dalam masyarakat dan menyebarkan kebimbangan di kalangan penganut Kristian terhadap politik Islam di rantau berkenaan,” kata kenyataan itu. - AFP

No comments: