AS mengaku mampu serang nuklear Iran
Hayden mendedahkan bahawa Israel tidak mampu menyerang kemudahan nuklear Iran disebabkan faktor-faktor geometri, fizik dan kekurangan senjata lengkap.
WASHINGTON - Bekas pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) mendakwa Amerika Syarikat (AS) adalah satu-satunya negara di dunia yang mampu melaksanakan serangan terhadap kemudahan kuasa nuklear Iran.

Michael Hayden yang berkhidmat di CIA sehingga 2009 lalu, mendedahkan pengakuannya menerusi satu temu bual bersama akhbar tempatan Israel dan berkata bahawa masalah melibatkan lokasi, senjata, simpanan stok penyerang dan koleksi perancangan lengkap bakal berlaku jika negara rejim yang menyerang dan bukannya AS.

"Saya tidak memperkecilkan kuasa Israel, tetapi keadaan geometri dan fizik menerangkan bahawa program nuklear Iran bakal mengundang satu cabaran yang sukar kepada mana-mana tentera," kata Hayden kepada wartawan akhbar Haaretz.

Jelas Hayden, Israel tidak memiliki sumber peperangan lengkap berbanding AS  yang mampu melakukan serangan lengkap secara berulang-ulang bagi memusnahkan kemudahan nuklear Iran.

Sejak berdekad, Israel dilihat tidak berpuas hati dan panas punggung dengan apa sahaja kemajuan diusahakan oleh negara Republik Islam itu khasnya melibatkan pembinaan senjata berteknologi tinggi.

Susulan itu, pelbagai tindakan dilakukan rejim bagi menggagalkan tindakan Iran sehingga menyebabkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengadakan beberapa sekatan daripada meneruskan pembinaan senjata nuklear, selain Israel terus bimbang dan mengancam untuk menyerang negara Islam itu.

Walau bagaimanapun, Hayden dengan tegasnya menegah Israel berbuat demikian kerana yakin negara rejim tidak akan berjaya memusnahkan kemudahan nuklear Iran dalam sekelip mata.