Pages

Wednesday, September 19, 2012

12 maut dibom

KABUL: Seorang wanita pengebom berani mati membunuh 12 mangsa, termasuk lapan warga Afrika Selatan, di Kabul dalam serangan tunggal paling serius dikaitkan dengan sebuah filem menghina Islam.

Pegawai keselamatan berkata, sembilan warga asing adalah antara korban serangan di sebuah lebuh raya menuju lapangan terbang di Kabul itu.


Menurut sumber, wanita terbabit meletupkan kenderaan dinaikinya ketika ia berada bersebelahan dengan sebuah van mini membawa pekerja asing.

Saksi berkata, sekurang-kurangnya enam mayat dilihat berada dalam van mini berkenaan, manakala satu kenderaan lagi musnah terbakar di tengah lebuh raya.


Hezb-i-Islami yang menjadi pemberontak kedua terbesar selepas Taliban mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu. Jurucakapnya berkata, serangan itu adalah sebagai balasan atas penghinaan terhadap Nabi Muhammad. Sangat janggal bagi kumpulan terbabit mengaku bertanggungjawab dalam serangan berani mati di Afghanistan, selain terlalu jarang wanita melakukannya. Serangan semalam menjadikan korban keganasan akibat filem Innocence of Muslims di seluruh dunia meningkat kepada 30 orang. Filem berkenaan dipercayai dihasilkan sekumpulan kecil pelampau Kristian dan kini tersebar di YouTube.


Minggu lalu, pejuang Taliban menyerbu satu pangkalan udara dikendali tentera Britain dan membunuh dua anggota marin Amerika Syarikat (AS) serta memusnahkan enam jet pejuang. Protes di luar Kedutaan AS serta simbol berkaitan negara itu di seluruh dunia mengorbankan 10 orang. - AFP

No comments: