ASSALAMUALAIKUM WA RAHMATULLAHI WA BARAKAATUH dan Salam Mahabbah Fillah buat semua sahabat yang dirindui dan dikasihi....
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wassalam, ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
Pesanan Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam adalah menggalakkan umatnya mendirikan solat malam. Baginda shallallahu 'alaihi wassalam menjelaskan bahawa keutamaan 'ibadah solat pada waktu malam amat besar dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Baginda menyatakan:
وصل ركعتين في ظلمة الليل لو حشة القبور
Maksudnya:
"Tunaikanlah solat dua raka'at dalam kegelapan malam, demi kesunyian di kubur."
Solat ialah penggerak utama kebangunan Nubuwwah. Hal ini bermula dengan (يا ايها المزمل) dan berakhir dengan (يا ايها المدثرقم فانذر).
Solat malam tidak dapat ditandingi oleh sebarang 'ibadah. Solat malam membekalkan para mukmin dengan potensi dan daya juang yang tidak dapat digambarkan hebatnya. Itulah kurniaan Allah dan pemberian-Nya. Kenyataan ini diperkuatkan oleh firman Allah yang maksudnya:
"Sesungguhnya jiwa (orang) yang terbentuk pada waktu malam itu lebih mantap (keperibadiannya) dan lebih jitu kata-katanya."
(Surah Al-Muzzammil: ayat 6)
Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam pada suatu ketika pernah menjelaskan keutamaan dan fadhilat solat malam. Baginda shallallahu 'alaihi wassalam menyatakan yang maksudnya berbunyi:
"Hendaklah kalian mengerjakan solat pada waktu malam, justeru itu ialah amalan orang-orang soleh sebelum kamu dan yang mendekatkan kamu kepada Tuhanmu. Ia penebus segala dosa, pencegah daripada segala keburukan. Ia dapat menghapuskan penyakit yang ada dalam badan seseorang."
(Hadis riwayat Tabarani dan Tarmizi)
Diriwayatkan bahawa Jibril datang menemui Nabi shallallahu 'alaihi wassalam . Beliau berkata kepada Baginda shallallahu 'alaihi wassalam:
"Hai Muhammad, hiduplah seperti mana yang engkau mahu, namun engkau pasti akan mati. Berbuatlah apa yang kau mahu, namun engkau pasti berpisah dengannya. Ketahuilah bahawa keutamaan seseorang mukmin itu adalah dengan qiamullail (solat malam), manakala kemuliaannya adalah dengan sikap berdikari (tidak bergantung kepada orang lain)."
(Hadis Riwayat Tabrani)
Dengan huraian ini, jelas kepada kita bahawa solat malam dapat membentuk para da'ie menjadi hamba Allah yang 'Rabbani', kerap berhubung dengan Allah, berjiwa cerah, mempunyai hati yang peka, kewaspadaan yang tinggi serta kekritisan daya berfikir.
Jika seseorang itu tidak bersifat dengan sifat-sifat di atas, maka ia bukanlah da'ie. Bencana yang menimpa Islam kini adalah kerana adanya golongan-golongan penda'wah yang tidak mempunyai ciri-ciri, sifat-sifat dan akhlak penda'wah yang sebenar sepertimana yang sewajarnya.
Selain daripada itu solat malam tidak akan dapat dijadikan amalan kebiasaan kecuali dengan menggagahkan diri, melawan syaitan dan nafsu, khasnya pada peringkat awal. Rasulullah dalam menggambarkan dalaman ini pernah bersabda yang terjemahannya berbunyi:
"Apabila seseorang hendak menunaikan solat malam, datanglah malaikat seraya berkata kepadanya: Bangunlah, hari telah pagi, solat dan ingatlah Tuhanmu. Syaitan pun datang memujuknya. Malam masih panjang, engkau boleh tidur lagi, nanti engkau boleh bangun. Kalau ia bingkas dari tempat tidurnya bersolat, maka badannya akan menjadi ringan (cergas) dan sihat. Kalau ia patuh kepada syaitan, tidur hingga ke siang, syaitan akan kencing di dalam telinganya."
(Hadis Riwayat Tabrani)
Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam mengaitkan antara solat antara solat tengah malam dengan mendapat ketenangan dan kedamaian jiwa di dalam kubur. Baginda shallallahu 'alaihi wassalam mengatakan:
"Orang yang mencerahkan malamnya dengan 'ibadah dan patuh kepada Allah, nescaya Allah akan menerangkan kuburnya dengan rahmat dan kurniaan-Nya."
Wahai, alangkah hebatnya kurnia dan ganjaran Allah terhadap hamba-Nya. Dengan beberapa raka'at yang dikerjakan pada waktu malam, ia boleh selamat daripada seksa kubur, kesepian dan kelengannya. Ia akan merasa sejahtera dan damai.
Selamatlah orang-orang yang tidak nyenyak tidurnya kerana 'ibadah. Selamatlah mereka daripada kesengsaraan kesepian dalam kubur. Sesungguhnya suasana di dalam kubur amat sepi dan penuh denga penanggungannya.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam pernah membayangkan tentang kubur dan seksanya. Baginda shallallahu 'alaihi wassalam mengatakan yang terjemahannya:
"Kubur ialah anak tangga pertama ke akhirat. Jika seseorang boleh selamat (daripada seksanya), maka peringkat selepas itu akan lebih mudah. Tetapi kalau ia tidak selamat, maka apa yang akan dihadapinya selepas itu lebih payah."
Mujahid mengatakan: "Yang pertama menyapa si mati ialah lubang kuburnya. Ia mengatakan: Akulah rumah ulat dan cacing-cacing, rumah sepi, gelap dan keseorangan. Inilah persiapanku untukmu, apakah pula yang engkau persiapkan untukku?"
Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam menerangkan yang terjemahannya:
"Apabila seseorang manusia meninggal dunia, (setelah dikuburkan) maka datanglah dua malaikat kehitaman dan kebiruan warna mereka. Mereka dikenali sebagai Munkar dan Nakir. Kedua-duanya bertanya pada orang tersebut: Apa katamu (pandanganmu) terhadap Nabi? Sekiranya ia beriman, ia menjawab: Nabi ialah hamba Allah dan Rasul-Nya, saya naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad Rasulullah. Kedua-duanya lantas berkata: Kami memang tahu, engkau dahulu pun mengucap syahadat itu. Kemudian kuburnya dilapangkan seluas tujuh puluh hasta kali tujuh puluh hasta serta diterangkan kuburnya. Sekiranya ia seorang yang munafiq, ia menjawab: Saya tidak tahu, saya pernah mendengar orang mengatakan sesuatu dan saya mengatakannya. Kedua-dua malaikat itupun berkata: Kami pun memang tahu engkau ada mengata-ngatakan yang demikian. Kemudian diperintahkan kepada bumi supaya menghimpitnya sehingga berselang-seli tulang belulangnya."
Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam pernah bersabda yang terjemahannya:
"Apabila seorang itu hendak dihimpit di dalam kuburnya dari sebelah kepalanya, maka datanglah 'ibadat tilawatul Quran (yang telah dilakukan semasa di dunia) menghalangnya. Apabila himpitan itu datang daripada depannya, ia dihalang oleh 'ibadat sedekahnya, dan apabila itu datang dari arah kakinya, ia dihalang oleh ('ibadah) pemergiannya ke masjid-masjid."
Dalam masa yang lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam pernah menceritakan kandungan shahifa Musa. Baginda shallallahu 'alaihi wassalam bersabda yang terjemahannya:
"Dalam shahifa Musa, kandungannya penuh dengan ibarat dan pengajaran. Antaranya: Aku merasa aneh terhadap orang yang yakin akan mati tetapi ia bergembira, orang yang yakin dengan neraka tetapi ia masih ketawa, orang yang yakin dengan qadar tetapi masih menolaknya. Aku merasa aneh melihat orang yang menginsafi hakikat dunia dan melihat sendiri akan putaran rodanya terhadap penghuni-penghuninya, tetapi ia masih merasa lega untuk merangkulnya. Aku hairan kepada orang yang yakin dengan perhitungan Allah kelak (Hari Qiamat) tetapi ia tidak berbuat apa."
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu. Matikanlah kami dalam menyebut kalimah tauhid.
No comments:
Post a Comment