Masjid Panglima Kinta.
Masjid Panglima Kinta.
Tidak sampai 20 minit tiga kuali besar berisi bubur lambuk telah habis diagih-agihkan kepada orang r
Tidak sampai 20 minit tiga kuali besar berisi bubur lambuk telah habis diagih-agihkan kepada orang ramai.
Orang ramai telah mula beratur di dapur Masjid India Muslim Ipoh seawal 4.30 petang bagi mendapatkan
Orang ramai telah mula beratur di dapur Masjid India Muslim Ipoh seawal 4.30 petang bagi mendapatkan bubur lambuk di masjid berkenaan.
Masjid India Muslim Ipoh.
Masjid India Muslim Ipoh.
IPOH - Masjid serta surau sekitar bandar raya Ipoh pasti sesak dengan kehadiran umat Islam yang mahu mengimarah masjid dengan pelbagai aktiviti seperti solat tarawih, tadarus al-Quran, qiamulail dan sebagainya; tidak termasuk jamuan moreh dan berbuka puasa.

Kewujudan masjid baru di sekitar bandar raya ini turut menyediakan juada bersahur kepada jemaah, namun di sebalik kewujudan masjid baru, umat Islam di sini masih berpusu-pusu mengunjungi tiga masjid lama seperti Masjid Panglima Kinta, Masjid Kampung Paloh dan Masjid India Muslim.

Sungguhpun berusia lebih seratus tahun, masjid-masjid lama ini masih mampu menarik orang ramai untuk melaksana pelbagai aktiviti dan tidak keterlaluan jika dikatakan ketiga-tiga masjid lama ini memiliki kisah menarik serta keunikan tersendiri.


Masjid warisan, transit jemaah
 

MASJID Panglima Kinta yang berusia 114 tahun dan berada bawah kelolaan muzium serta dikategorikan sebagai masjid warisan di negeri ini menjadi contoh keunikan masjid-masjid lama.

Imam masjid berkenaan, Abdul Aziz Mat Ali berkata, masjid berkenaan masih lagi beroperasi seperti biasa seperti menganjurkan majlis-majlis ilmu selain solat lima waktu sebagaimana masjid-masjid lain.

Menurutnya, setiap kali Ramadan, masjid itu akan menganjurkan program berbuka puasa, solat sunat terawih, jamuan moreh, tadarus al-Quran, qiamullail serta majlis ilmu yang disampaikan penceramah undangan khas.

"Masjid ini lebih berfungsi sebagai 'masjid transit' keraja tiada kariah tetap. Kebanyakan pengunjung adalah mereka yang bekerja di kawasan berhampiran atau orang luar yang singgah untuk menunaikan solat," katanya.

Masjid Panglima Kinta merupakan masjid pertama dibina di Ipoh oleh Datuk Panglima Kinta Mohamed Yusof pada 1898 dan antara keunikan masjid ini adalah memiliki seni bina asli serta tanah perkuburan khusus untuk keluarga Datuk Panglima Kinta di bahagian belakang.

Di bahagian hadapan masjid pula dibina Madrasah Kamaliah, iaitu sekolah Arab pertama di Ipoh, dan seorang pengunjung tetap, Hamdan Ibrahim mengakui lebih selesa ke masjid ini biarpun tinggal berjauhan.

"Walaupun lama, ia tetap selesa kerana beberapa penambahbaikkan yang dibuat. Masjid ini turut mengambil giliran solat Jumaat kerana berdekatan sebuah lagi masjid lama, iaitu Masjid Kampung Paloh," katanya.


Tahlil setiap malam

Sinar Harian berkesempatan mengunjungi Masjid Kampung Paloh dan ternyata masjid yang genap usianya 100 tahun pada tahun ini masih diimarahkan jemaah dari kawasan sekitar seperti Kampung Paloh, Kampung Tebing Tinggi dan Kampung Temiang.

Imam Masjid Kampung Paloh, Sain Abd Samod berkata, masjid berkenaan tidak pernah sunyi daripada kunjungan ramai, khususnya untuk solat lima waktu.

Malah katanya, masjid berkenaan turut menganjurkan majlis-majlis ilmu termasuk majlis-majlis sambutan sempena hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Awal Muhararam, Nisfu Syaaban dan sebagainya.

“Seperti masjid-masjid lain juga, kami juga menganjurkan aktiviti seperti solat tarawih, tadarus al-Quran dan sebagainya. Pada 10 malam terkahir Ramadan setiap tahun, kami akan menganjurkan qiamullail di masjid ini. Juadah sahur turut disediakan,” katanya.

Seorang lagi imam masjid berkenaan, Mustapha Ali, 50 berkata sempena Ramadan, setiap malam masjid berkenaan akan menganjurkan majlis tahlil yang ditaja oleh para waris-waris kepada pengasas masjid berkenaan.

Katanya, waris berkenaan turut menyalurkan sumbangan untuk pihak masjid menguruskan perbelanjaan masjid seperti air, elektrik dan lain-lain.

“Sejak dahulu lagi, waris-waris pengasas masjid akan berebut-rebut menganjurkan majlis tahlil di sini. Selain itu, ada juga pihak-pihak persendirian yang menyalurkan sumbangan bagi membiayai perbelanjaan kami,” katanya.

Seroang jemaah yang singgah untuk menunaikan solat di masjid berkenaan, Rosli Ahmad Tarmizi, 34, berkata, dia sering singgah untuk di masjid berkenaan selain Masjid Panglima Kinta untuk menunaikan solat berikutan tempat kerjanya berhampiran dengan kedua-dua masjid tersebut.

“Kedua-dua masjid ini berdekatan, jadi senanglah untuk saya singgah dan menunaikan solat apabila telah masuk waktu. Saya berpendapat kedua-dua masjid ini sememangnya boleh menjadi antara mercu tanda bandar raya Ipoh,” katanya.


Bubur lambuk 5 periuk licin

SETERUSNYA Sinar Harian sempat ke sebuah lagi masjid tertua di bandar raya Ipoh iaitu Masjid India Muslim yang dilaporkan telah berusia 108 tahun itu.

Apa yang menariknya, masjid ini setiap tahun menyediakan bubur lambuk dan diagih-agihkan secara percuma kepada orang ramai, khususnya umat Islam di sekitar bandar raya.

Setiausaha masjid berkenaan, Yusof Veera berkata, untuk memasak bubur lambuk ini, pihak masjid menggunakan 65 kilogram beras setiap hari dan bubur lambuk berkenaan akan dimasak menggunakan lima periuk besar di dapur masjid berkenaan.

Tambahnya, setiap periuk tersebut akan diisi dengan 13 kilogram beras yang akan dimasak mulai tengahari sebelum diagih-agihkan kepada orang ramai.

“Sejak dahulu lagi sememangnya kita ada sediakan bubur lambuk ini kepada orang ramai. Alhamdulillah, sambutan yang diterima memang menggalakkan.

“Seperti yang dilihat pada hari ini, tidak sampai sejam, kelima-lima periuk besar berisi bubur lambuk ini telah licin.

“Sebenarnya tiada apa-apa resipi istimewa pada bubur lambuk ini. Cuma kita tidak menggunakan daging atau ayam pada masakan ini, cuma sayur-sayuran dan rempah ratus. Mungkin itu agaknya yang memberi kelainan,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang jemaah di masjid berkenaan, Mohd Roslan Ibrahim, 41 berkata, biarpun masjid berkenaan boleh dikategorikan sebagai sebuah masjid lama, namun dirinya tetap kagum dengan kebersihan masjid berkenaan.
Katanya, biarpun pertama kali singgah untuk bersolat dan berehat sebentar di masjid berkenaan, dirinya dapat merasakan suasana ketenangan dan damai di situ.

“Terus terang saya katakana, masjid ini memang mendamaikan, saya kagum dengan kebersihannya,” katanya.