Pages

Friday, May 4, 2012

Ulama Indonesia khuatir Syiah


JAKARTA: Ulama Jawa Barat yang bernaung di bawah kepemimpinan Majlis Ulama Indonesia dan Forum Jemaah memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan ajaran Syiah.

Amaran itu dikeluarkan berikutan perbezaan mazhab antara Syiah dan Sunnah yang lebih berpengaruh di Indonesia.
“Ada sekurang-kurangnya tiga masalah dalam Syiah. Pertama, mereka menganggap al-Quran diubah suai. Kedua, hanya ulama Syiah ada kuasa utama mentafsir hadis.
“Ketiga, Syiah membenarkan kahwin kontrak mengikut kepentingan sendiri. Ia boleh digunakan hingga menyebabkan pelacuran seolah-olah dibolehkan,” kata ketua forum berkenaan, Athian Ali, kepada Jakarta Post, kelmarin.

Pemimpin Majlis Ulama Indonesia cawangan Jawa Barat, Rafani Akhyar, mengesahkan mereka perlu berwaspada penyebaran Syiah kerana ia membawa pengaruh negatif kepada umat Islam Indonesia.

“Kita perlu berhati-hati dengan agenda politik Syiah kerana ia boleh membahayakan idea Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI),” katanya.

Berdasarkan perspektif Syiah, ulama yang memegang kuasa penuh mentadbir negara, bukan kerajaan. Sementara itu, di Sampang, Madura, sesi keterangan membabitkan ulama Syiah, Tajul Muluk, masih berterusan.
Tajul dihadapkan ke mahkamah kerana polis menganggap kepercayaan agamanya mendorong umat Islam mengambil langkah ganas.

Sementara itu, sarjana Syiah Indonesia, Jalalluddin Rahmat, pula berpendapat tuntutan mengelak daripada terpengaruh dengan ajaran mazhab berkenaan bertentangan Perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama.

Keputusan yang dikeluarkan pelbagai persidangan antarabangsa mengenai Sunnah dan Syiah, termasuk deklarasi Makkah, deklarasi Amman dan deklarasi Bogor, juga menjamin kebebasan kedua-dua mazhab itu, katanya.

Pegawai Suruhanjaya Kebangsaan bagi Hak Asasi Manusia (KOMNAS HAM), Hesti Armiwulan, pula berkata ketika suruhanjaya itu tidak terbabit perbezaan ideologi atau agama, ia melihat pihak yang mencabar Syiah mungkin mencabul kebebasan beragama yang dilindungi undang-undang. – Agensi

No comments: