Pages

Thursday, May 3, 2012

Tunjuk perasaan Hari Pekerja di seluruh AS

Berita Harian Online | Tunjuk perasaan Hari Pekerja di seluruh AS:

NEW YORK: Berpuluh-puluh penunjuk perasaan ditahan dalam bantahan sempena Hari Pekerja yang diadakan di seluruh Amerika Syarikat, termasuk lebih 40 di bandar raya New York ketika beberapa pertempuran meletus dengan polis yang memaksa anggota keselamatan menyembur lada. 

Penunjuk perasaan Occupy Wall Street memecahkan tingkap di Seattle, dikejar di jalan raya di New York oleh polis yang menaiki skuter dan bertempur dengan pegawai di Oakland yang bertujuan menghidupkan semula pergerakan menentang ketidakadilan ekonomi.
Di Oakland, polis pencegah rusuhan menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang membaling objek ke arah pegawai dan merempuh mereka dengan perisai besi ketika pergaduhan meletus pada tengah hari.
Pegawai berkata, penunjuk perasaan merosakkan dua bank, sebuah van polis dan kenderaan akhbar. 

“Saya berdiri di luar dan polis masuk ke dalam, menangkap dua orang di tengah orang ramai, memukul dan meletakkan mereka dalam kenderaan polis,” kata penganjur Occupy Oakland, Caitlin Manning. 

Lebih 12 orang ditahan di Oakland. Kebanyakan insiden ganas dan vandalisme dilakukan ketika anggota Occupy Wall Street bergaduh dengan polis, mencemarkan apa yang bermula sebagai pergerakan bantahan secara aman. 

Namun, pertempuran yang mereka cetus tahun lalu turut menyuntik nafas baru kepada perhimpunan tunjuk perasaan ketika penunjuk perasaan membangkitkan isu kekejaman polis berikutan pertempuran di Oakland dan kejadian semburan lada di merata tempat di negara itu. 
Di Seattle, penunjuk perasaan mengibarkan bendera hitam memecahkan tingkap beberapa kedai termasuk cawangan Nike Town dan bank HSBC sebelum polis mengusir mereka. 

Penunjuk perasaan yang lain memecahkan tingkap bangunan persekutuan Seattle menyebabkan lapan ditahan. 

Diilhamkan daripada kebangkitan di dunia Arab, pergerakan Occupy Wall Street menarik perhatian dunia tahun lalu dengan melancarkan kempen merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin serta sistem politik dan penstrukturan cukai ke atas penduduk kaya. 

Di New York, lokasi bermulanya gerakan itu mulai September lalu, beribu-ribu penunjuk perasaan memenuhi Dataran Kesatuan dalam keadaan meriah dengan kehadiran pemain gitar Rage Againts the Machine, Tom Morello. 

“Ini pastinya permulaan semula bagi Occupy Wall Street,” kata Lily Schwarzbaum, 21, dari New York yang belajar di Montreal, Kanada. 

Lewat kelmarin, kira-kira 400 orang – kebanyakannya memakai baju hitam dan lilit kepala – berlari ke arah Broadway apabila polis mengejar mereka dengan skuter. 

Polis juga melaporkan 10 kes serbuk putih yang tidak membahayakan – bertujuan menimbulkan ketakutan berhubung antraks – dihantar kepada institusi kewangan dan beberapa yang lain dengan nota berbunyi: “Selamat Hari Pekerja. Ini untuk mengingatkan bahawa bukan kamu yang mengawal keadaan.” – Reuters

No comments: