Pages

Friday, May 25, 2012

Jurufoto mengembara 9,000km demi keadilan dan sebuah kamera

Jurufoto mengembara 9,000km demi keadilan dan sebuah kamera - Global - Sinar Harian:
BANGKOK - Elisabetta Polenghi telah mengembara sejauh 9,000km dari Milan ke ibu kota ini hanya untuk mencari keadilan dan sebuah kamera yang hilang.
   
Beliau mahu mendapatkan pembelaan atas kematian abangnya, Fabio, seorang jurufoto bebas yang terbunuh semasa membuat liputan pertempuran antara demonstran jalanan Baju Merah dan tentera di sini pada 19 Mei 2010.
   
"Ia bukan semata-mata mencari keadilan. Saya sebenarnya tidak mahu tahu siapa yang menembak abang saya. Saya lebih berminat untuk mengetahui sistem yang bertanggungjawab terhadap kematian beliau," katanya kepada Bernama di sini.
   
Fabio ialah seorang daripada dua petugas media yang terbunuh semasa membuat liputan pertempuran yang berlaku pada April-Mei 2010 di ibu kota ini. Seorang lagi ialah jurukamera Jepun Hiroyuki Muramoto yang bertugas dengan Reuters.

Lapan lagi petugas media, cedera.
   
Sejumlah 92 orang terbunuh dan lebih 1,800 lagi cedera semasa pertempuran selama dua bulan yang bermula dengan demonstrasi aman oleh kumpulan Baju Merah untuk mendesak kerajaan ketika itu berundur.

"Saya tidak marah dengan orang yang menembak Fabio. Saya bukan mahu membalas dendam," katanya.
   
Elisabetta, 48, berkata abangnya yang tua dua tahun daripadanya ialah mangsa kepada sistem yang gagal untuk menangani krisis itu hingga menyebabkan pertumpahan darah di jalanan.
   
"Jika ini berlaku di Eropah, ia mungkin sama juga. Fabio ialah mangsa sistem politik yang teruk. Kerajaan ketika itu dan ahli politiknya juga bersalah," katanya.
   
Pertempuran itu bertukar menjadi zon perang dengan kehadiran senjata M-16, AK-47, bom tangan dikuasakan roket (RPG), bom dan penembak hendap.
   
Elisabetta percaya Fabio sedar akan situasi bahaya yang dihadapinya, tetapi sebagai jurufoto, beliau mahu menjadi mata berkecuali terhadap peristiwa itu.

Beliau datang ke bandar raya ini sebanyak lima kali untuk mengikuti perkembangan kes abangnya sejak dua tahun lalu.
   
"Tidak banyak perkembangan berlaku untuk kes ini dalam tahun pertama, tetapi ada perubahan sekarang dan sudah menampakkan kemajuan," katanya.
   
Elisabetta berkata pendakwaan yakin tembakan yang mengenai abangnya datang dari arah pasukan tentera dan inkues mengenai kematiannya akan diadakan pada Julai.
   
Kes Fabio dan Muramoto ialah sebahagian daripada 25 kes yang pihak berkuasa disyaki bertanggungjawab, menurut Jabatan Siasatan Khas Polis  (DSI).
   
DSI juga mendapati sekurang-kurangnya 12 orang mati akibat tindakan para demonstran, Baju Merah. Mereka yang disyaki bertanggungjawab ke atas kematian 55 kes lagi, masih belum dinyatakan.

Seperti Fabio, Elisabetta ialah jurufoto bebas yang berpangkalan di Milan.
   
Bezanya cuma Fabio mengambil gambar untuk berita sementara Elisabetta mengambil gambar untuk iklan dan potret.
   
Elisabetta berkata beliau masih mencari kamera Canon D5 yang digunakan abangnya semasa dia ditembak.
   
"Ia mungkin mengandungi bukti-bukti penting. Kalau pun ia tidak mengandungi apa-apa bukti, kamera itu amat penting kerana ia merupakan mata abang saya sebelum dia ditembak. Saya hanya mahu melihat apa yang ada dalam fikiran Fabio ketika itu," katanya.
   
Kamera itu hilang sejak Fabio ditembak di Jalan Ratchadamri pada 19 Mei 2010.
   
"Pertalian darah dan profesion kami yang mengeratkan hubungan kami." katanya.
   
Elisabetta berkata kehidupannya berubah sejak kehilangan Fabio kerana dia terpaksa berulang-alik antara Milan dan Bangkok serta belajar mengenai birokrasi Thai dalam menyelesaikan kes ini.
   
"Saya tak boleh katakan saya akan mengusahakan perkara ini selama-lamanya tetapi selagi saya ada semangat, saya akan teruskan," katanya. - Bernama
'via Blog this'

No comments: